KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebulat suara mendapati bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah hilang hak untuk membuat sebarang komen berkait kewujudan kartel dalam PDRM.

Dalam satu kenyataan, EAIC merumuskan perkara tersebut lantaran Abdul Hamid tidak memberi sebarang bukti yang menyokong dakwaannya.

Selain tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel itu, Abdul Hamid juga mengakui selaku KPN beliau tidak pernah membangkitkan isu tersebut dalam mana-mana mesyuarat melibatkan Pengarah-pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman.

"Justeru, barisan Pesuruhjaya EAIC mendapati beliau selaku KPN tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020 yang mana beliau mempunyai masa dan kuasa untuk menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media.

"Beliau selaku KPN sepatutnya mengarahkan pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel ini didedahkan kepada pihak media.

"Sebaliknya, beliau tidak memberikan keterangan kepada pihak JIPS Bukit Aman supaya isu kartel ini dapat disiasat dan diselesaikan dan beliau selaku KPN tidak pernah membangkitkan isu kartel ini dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP)," memetik kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh tujuh anggota EAIC yang dipengerusikan oleh Tan Sri Sidek Hassan.

EAIC pada masa sama menegaskan bahawa Abdul Hamid enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini.

Malah, EAIC memaklumkan terdapat saksi dalam siasatan tersebut yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai KPN tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan tersebut.