NATIONAL
Kartel projek: Helikopter, kereta dan kapal mewah bernilai RM15.7 juta disita

Antara kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM15.7 juta yang disita SPRM. - Foto sumber
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua buah helikopter persendirian, lebih 10 kereta mewah dan sebuah kapal persiaran milik ketua sindiket kartel projek bergelar Datuk yang ditahan kelmarin.
Menurut sumber, selain kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai RM15.7 juta itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM3.5 juta ketika serbuan di kediamannya pada Isnin.
“Selain itu, SPRM turut menyita banglo, rumah kedai dan pejabat yang dianggarkan bernilai RM29 juta,” katanya, di sini, pada Selasa.

Menurut sumber itu lagi, sebanyak 644 akaun individu dan syarikat yang dianggarkan bernilai RM100 juta turut dibekukan dalam siasatan kes kartel projek.
Beliau turut menyifatkan kemewahan yang ditunjukkan ketua sindiket itu sebagai luar biasa.
Katanya, modus operandi kumpulan kartel projek itu ialah dengan membuka lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji di antara RM5,000 dan RM8,000.
Syarikat-syarikat itu, katanya, adalah milik suspek.
“Maklumat awal mendapati 114 individu telah digunakan nama untuk membuka lebih 150 buah syarikat.
“Kesemua syarikat ini akan digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender/sebut harga di kementerian dan agensi kerajaan.
"Maklumat tender atau sebut harga termasuk spesifikasi projek dan harga siling projek akan disalurkan oleh individu dalam kementerian atau agensi.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi di sini pada Selasa mengesahkan perkara itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami