Skip to main content

Malaysia

Karya P. Ramlee: Kerajaan teliti status hak sebelum rundingan

Kerajaan sedang meneliti secara terperinci status hak pemilikan, hak cipta dan hak pengurusan setiap filem P. Ramlee sebelum sebarang usaha memperoleh atau membeli hak berkenaan dilaksanakan, kata Teo Nie Ching. - Gambar Tangkap layar Youtube Parlimen Malaysia.
Kerajaan sedang meneliti secara terperinci status hak pemilikan, hak cipta dan hak pengurusan setiap filem P. Ramlee sebelum sebarang usaha memperoleh atau membeli hak berkenaan dilaksanakan, kata Teo Nie Ching. - Gambar Tangkap layar Youtube Parlimen Malaysia.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti secara terperinci status hak pemilikan, hak cipta dan hak pengurusan setiap filem Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sebelum sebarang usaha memperoleh atau membeli hak berkenaan dilaksanakan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penelitian itu penting memandangkan karya P. Ramlee dihasilkan di bawah dua syarikat produksi berbeza sepanjang tempoh kerjayanya.

Menurut beliau, bagi tempoh 1948 hingga 1964, kebanyakan filem P. Ramlee diterbitkan oleh Malay Film Productions milik Shaw Brothers di Singapura, manakala 18 buah filem dihasilkan di bawah Merdeka Film Productions di Kuala Lumpur antara 1964 hingga 1972.

“Status pemilikan hak perlu ditentukan bagi setiap karya berdasarkan rekod penerbitan, perjanjian dan dokumen berkaitan.

“Sebarang rundingan bagi memperoleh hak hanya boleh dilaksanakan dengan pemilikan hak yang jelas,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai status terkini usaha kementerian memperoleh atau membeli hak pemilikan, hak cipta atau hak pengurusan filem-filem P. Ramlee yang kini dimiliki pihak tertentu untuk dipelihara sebagai aset warisan negara.

Nie Ching berkata, pada masa sama, usaha pemeliharaan karya dan legasi P. Ramlee terus dilaksanakan, termasuk melalui peranan Arkib Negara Malaysia.

Katanya, Arkib Negara Malaysia setakat ini telah memperoleh 45 buah filem serta 65 bahan audio dan lagu berkaitan P. Ramlee.

“Kerajaan juga sedang meneliti bentuk pengurusan atau kerjasama yang bersesuaian dengan pemegang hak.

“Penelitian ini mengambil kira aspek undang-undang berkaitan pemilikan hak, kepentingan waris serta kemampuan kewangan kerajaan supaya sebarang tindakan dapat dilaksanakan secara sah, teratur dan adil kepada semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, kementerian turut melihat potensi pendigitalan bahan berkaitan P. Ramlee bagi memastikan koleksi berkenaan dapat dipelihara dan diakses generasi akan datang.

Beliau berkata, kerajaan akan menyemak dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berhubung usaha pendigitalan serta bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan.

“Memang di bawah kementerian ada usaha untuk mencipta digital dan meningkatkan semua bahan yang ada. 

"Saya akan semak sama ada FINAS boleh berkongsi bersama-sama dan memastikan bahan ini dapat dimanfaatkan masyarakat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan, kerajaan akan terus memastikan karya dan legasi P. Ramlee dipelihara sebagai sebahagian daripada warisan negara.

Must Watch Video

Advertisement