KASA dan SPRM perkukuh kerjasama, perkuat tadbir urus banteras jenayah alam sekitar

Fareez Azman
Mac 5, 2021 08:06 MYT
Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Ir Dr Zaini ujang, membuat kunjungan hormat kepada Ketua Pensuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki di SPRM pada Jumaat. - Foto KASA
PUTRAJAYA: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membanteras jenayah alam sekitar.
Menurut Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir Dr Zaini ujang, satu kunjungan hormat telah diadakan ke atas Ketua Pensuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada Jumaat.
Ia susulan daripada hasil Mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) Kebangsaan pada 5 Februari lalu yang memutuskan agar satu task force ditubuhkan dengan penglibatan beberapa agensi termasuk SPRM dalam usaha itu.
"Mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) Kebangsaan pada 5 Februari 2021 telah memutuskan agar satu task force ditubuhkan oleh KASA dengan penglibatan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Task force ini akan membolehkan laporan lengkap yang disediakan serta tindakan di bawah undang-undang jenayah diambil terhadap pihak yang melakukan pencemaran terutama sekali pencemaran sungai atau sumber air," jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Malah beberapa perbincangan mengenai kerjasama turut diadakan bagi memantapkan lagi tadbir urus dan pemantauan bersepadu terutama sekali dalam aktiviti penguatkuasaan pencemaran sungai dan sumber air.
"Usaha ini diharap dapat meningkatkan lagi keberkesanan tadbir urus untuk memastikan pencemaran alam sekitar tidak berleluasa dan menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian perkhidmatan alam sekitar dan air di seluruh negara," jelasnya lagi.
#Azam Baki #PDRM #SPRM #Media #Polis Diraja Malaysia #Rasuah #jenayah #undang-undang #Malaysia #alam sekitar #Ir Dr Zaini Ujang #Task force #KASA #Ketua Setiausaha #Jenayah Alam Sekitar