AYER KEROH: Tindakan seorang kontraktor membeli pelbagai jenis senjata api dari luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier, membawa padah apabila berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka.
 
Pengarahnya, Norlela Ismail berkata, rampasan melibatkan lima senjata api dari negara Sepanyol yang diikrarkan sebagai barangan hiasan logam itu dibuat dengan kerjasama sebuah syarikat kurier.
 
Beliau berkata, hasil tangkapan terhadap lelaki berusia 36 tahun di sebuah hotel di Ayer Keroh, pihaknya berjaya merampas dua laras senapang angin, satu laras senapang dan dua pucuk pistol angin.
 

Pihaknya turut merampas tiga tin peluru selain serbuan di rumah lelaki berkenaan di Bemban, Jasin kemudian turut menemukan satu lagi pucuk pistol angin dan kesemua senjata itu kononnya didakwa dibeli untuk dijadikan koleksi.

"(Suspek) menggunakan alamat perkhidmatan kurier sebagai penerima. Bungkusan kemudian dihantar secara selamat ke destinasi yang diminta pelanggan.

"Ini bermakna pelanggan dia guna alamat syarikat kurier kemudian dia follow up barang dibeli secara online, kemudian bila barang tu dah sampai, dia minta kurier hantar ke alamat yang dia nyatakan," katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat JKDM Melaka di Ayer Keroh pada Selasa.
 
Mengulas lanjut katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana mengimport senjata dari luar negara menggunakan perkhidmatan kurier tanpa pengisytiharan dan permit yang sah.
 
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000, dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000, atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, atau kedua-duanya.
 
Dalam pada itu, Norlela berkata JKDM Melaka berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan terlarang bernilai RM23 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
 
Katanya, ia melibatkan sebanyak 101 kes membabitkan 30 suspek ditahan sejak Januari hingga Jun lalu.
 
Jelasnya, tangkapan itu menunjukkan peningkatan kira-kira 15 peratus berbanding tahun lalu.
 
Beliau turut menyeru orang ramai untuk membantu pihaknya membanteras jenayah penyeludupan terutamanya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan di talian bebas tol 1-800-888855 atau pejabat kastam terdekat.