KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok putih di Laluan Persekutuan Kota Bharu-Kuala Terengganu pada 12 Februari lalu membabitkan jumlah rampasan termasuk cukai dan kenderaan lori yang bernilai RM1.55 juta.

Pengarah Kastam Negeri, Wan Apandi Wan Hassan berkata sebelum itu, hasil maklumat daripada orang awam, telah menemukan sebuah lori yang ditinggalkan di sebuah stesen minyak di Kampung Anak Ikan, Jerteh, Terengganu pada jam 6.30 pagi.

Menurut Wan Apandi, semasa pemeriksaan mendapati lori tersebut ditinggalkan di perkarangan stesen minyak tersebut dan tiada individu yang ditahan.

"Pemeriksaan fizikal di tempat kejadian telah dijalankan dan mendapati muatan yang dibawa adalah rokok yang disyaki barang larangan import," ujar Wan Apandi pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Tambahnya, modus operandi sindiket itu ialah menggunakan lori separuh kanvas dan bergerak aktif pada waktu malam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Maklumat diterima jam 5 pagi dan kita dapati kenderaan tu telah parkir di stesen minyak berkenaan dan diperolehi pada 6.30 pagi lebih kurang dan masa kita mendekati lori tersebut tidak ada orang. Kita telah periksa dan lori tersebut ada rokok," katanya.

Tambah Wan Apandi, kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan pihaknya masih menyiasat sumber bekalan barangan seludup itu yang dipercayai untuk dipasarkan di Pantai Timur.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh (10) kali ganda nilai barang atau RM 100,000.00 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada dua puluh (20) kali ganda nilai barang atau RM 500,000.00 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang enam (6) bulan dan tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali," ujarnya lagi.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi talian bebas tol 1800-88-8855 atau di pejabat kastam berdekatan.