Kastam Pulau Pinang rampas rokok, minuman keras bernilai lebih RM21 juta

Rohaizad (empat, kanan) menunjukkan hasil rampasan pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam Perai di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas rokok dan minuman keras dianggar bernilai RM21.88 juta termasuk cukai susulan pemeriksaan ke atas tiga buah kontena di beberapa lokasi di Seberang Perai, 19 Dis lepas.
Pengarah JKDM negeri Datuk Rohaizad Ali berkata dalam operasi hasil maklumat dan intipan itu, pihaknya turut menahan tiga pemandu lori warga tempatan berusia lingkungan 40 hingga 50-an bagi membantu siasatan, selain menyita ketiga-tiga kontena bersama lori yang digunakan.
"Pemeriksaan ke atas kontena kedua dan ketiga di sebuah gudang masing-masing di Sungai Jawi dan Perai pula menemukan lebih 20 juta batang rokok pelbagai jenama dianggar bernilai lebih RM21.24 juta termasuk duti kastam," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam Perai di sini hari ini.
Rohaizad berkata siasatan awal mendapati semua kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Butterworth Utara (NBCT) dari Singapura dan gagal membuat pengisytiharan terhadap barangan yang dibawa.
"Kesemua rokok dan minuman keras itu dipercayai untuk pasaran tempatan namun siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.
Beliau berkata rokok dan minuman keras itu diklasifikasikan sebagai barangan larangan import dan individu terlibat sedang dikenal pasti termasuk kemungkinan wujud penglibatan orang dalam.
Rohaizad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


