JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 2.91 juta batang rokok kretek dan rokok putih dianggar bernilai RM3.9 juta termasuk cukai menerusi dua operasi berasingan pada 6 dan 12 Sept lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Malaysia Datuk Sazali Mohamad berkata rampasan pertama pada 6 Sept dilakukan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kastam Johor selepas membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori perdagangan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

Beliau berkata sebanyak 830,000 batang rokok putih bernilai RM166,000 dengan duti serta cukai melibatkan RM564,400 itu, dijumpai di dalam lori tersebut yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun.

"Modus operandi kes ini adalah dengan tidak mengikrar rokok tidak bercukai itu dengan niat untuk menyeludupnya dengan menggunakan lori dagangan ke negara jiran Singapura," katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor, di sini hari ini.

Rampasan kedua pada 12 Sept pula dilakukan oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam Muar di tiga buah kediaman di sekitar Jerantut, Pahang dan Marang, Terengganu.

Menurut Sazali, rampasan melibatkan 2.08 juta batang rokok kretek dan putih bernilai RM625,000 dengan duti serta cukai melibatkan RM2.58 juta itu dipercayai diseludup dari Thailand, Vietnam dan Indonesia.

"Modus operandi kes ini adalah dengan menjadikan premis di kawasan kediaman sebagai tempat penyimpanan rokok tersebut. Bagaimanapun, usaha mengesan pemilik premis masih giat dilakukan," katanya.

Beliau berkata kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA