Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini tidak bersetuju dengan laporan sebuah portal pro-Pakatan yang berkata dua pemohon suaka politik berbuat demikian bagi mengelak dihadapkan ke muka pengadilan di negara ini.

Rasa tidak puas hati itu disampaikan secara santai dalam penulisan beliau di akaun Facebook rasminya.

Artikel portal berita tersebut menyifatkan perbuatan dua individu terbabit, Ali Abd Jalil dan Alvin Tan, yang mencari suaka politik sebagai simptom peningkatan kekecewaan anak muda berhubung tindakan tegas Putrajaya terhadap musuh politik.

“Ini memberi gambaran seolah-olah kedua-dua individu ini terpaksa lari dari Malaysia, mencari perlindungan di luar negara sebab tidak mahu dizalimi oleh kerajaan yang tidak membenarkan kritikan dan kebebasan bersuara.

“Apakah kes mereka ini merupakan kritikan politik? Apakah mereka ini musuh politik kerajaan? Wajar kita semak semula segala details berkenaan kes mereka,” ujar Khairy.

Dalam kes Alvin, ramai yang sedia maklum bahawa dia didakwa di mahkamah bukan kerana mengkritik kerajaan, tetapi kerana telah memuat naik gambar 'bak kut teh halal' yang menimbulkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Selain mempersenda sensitiviti umat Islam dalam isu tersebut, Alvin juga menimbulkan kontroversi kerana keterbukaan melampau dalam mendedahkan keseronokan hubungan seksnya. Alvin tanpa segan silu memuat naik gambar dan video aksi lucah tersebut bersama pasangannya di ruang maya.

Dalam kes Ali pula, Khairy menjelaskan, memang betul individu tersebut pernah mengkritik UMNO, tetapi dia didakwa di mahkamah bukan kerana hal itu, sebaliknya kerana komen tentang institusi Raja.

Antara komen Ali adalah mahu raja dihapuskan selain mengkritik sultan dengan kata-kata kesat.

Khairy juga sempat menyindir dengan memetik semula kata-kata Ali iaitu "kami berani mati". Namun, baru saja didakwa di mahkamah, Ali sudah lari.

Dalam hal ini, Khairy kesal laporan portal berita berkenaan langsung tidak memperincikan kesalahan sebenar Ali dan Alvin.

Tanpa memahami fakta kes dalam pendakwaan itu, menurut Khairy, ia memberi gambaran seolah-olah Ali dan Alvin ialah hero anak muda, namun hakikat adalah sebaliknya.

Khairy mengakhiri komen di Facebook dengan nada sinis: “Nak jadikan mereka ini ikon orang muda? Nak kata mereka ini contoh bagi orang muda di Malaysia? Saya rasa majoriti anak muda Malaysia lebih suka melihat dua orang ini tidak kembali semula ke tanah air.”