MALAYSIA

Kawalan ketat PGA sempena Lumba Perahu Muhibbah di Sungai Golok

Bernama 19/07/2025 | 21:10 MYT
Mohd Yusoff berkata, pihaknya telah mengarahkan PGA untuk meningkatkan kawalan dan pemeriksaan di kawasan terbabit sepanjang acara berlangsung. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan memperketat kawalan di pangkalan Pohon Jambu, berhampiran tebing Sungai Golok, berikutan penganjuran pertandingan Lumba Perahu Muhibbah yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad (hari ini) di sempadan Malaysia-Thailand.

Langkah keselamatan itu diambil bagi mencegah sebarang kegiatan rentas sempadan secara haram susulan kehadiran lebih 1,000 pengunjung dari kedua-dua negara ke lokasi acara yang terletak bersebelahan pekan Sungai Golok, Thailand.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya telah mengarahkan PGA untuk meningkatkan kawalan dan pemeriksaan di kawasan terbabit sepanjang acara berlangsung.

"Kita tidak mahu pihak tertentu mengambil kesempatan melakukan aktiviti rentas sempadan secara haram. Kehadiran ramai orang termasuk pelancong dari kedua-dua negara menuntut kita mengetatkan kawalan," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Difahamkan, pertandingan perahu tradisional yang dikenali sebagai "Yor Kong" itu membabitkan 40 pasukan bertanding termasuk lima pasukan dari Malaysia.

Acara tahunan tersebut turut diserikan dengan kehadiran penduduk Kampung Pohon Jambu yang duduk bersama ahli keluarga di sepanjang tebing sungai bagi menyaksikan perlumbaan dan dijangka dirasmikan oleh Gabenor Narathiwat Trakul Thotham.

-- BERNAMA




#Pasukan Gerakan Am #PGA #Sungai Golok #kawalan keselamatan #lumba perahu muhibbah #polis