MALAYSIA

Kawalan lebih mudah jika vape diharamkan sekarang - MCTC

Seth Akmal 26/06/2025 | 07:50 MYT
Muhammad Sha’ani Abdullah (lapan, kiri) selepas sidang media sempena Hari Antidadah Sedunia di Dewan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Taman Duta, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mengharamkan penggunaan vape dan rokok elektronik dengan segera berikutan kadar penggunaannya yang masih rendah berbanding rokok konvensional, sekali gus memudahkan kawalan terutama dalam kalangan generasi muda.

Ringkasan AI
  • MCTC menyarankan kerajaan mengharamkan vape dan rokok elektronik segera kerana kadar penggunaannya masih rendah, sekali gus memudahkan kawalan terutama dalam kalangan generasi muda.
  • Muhammad Shaani memberi amaran bahawa vape kini menjadi -nyawa kedua- kepada industri rokok dan boleh menggagalkan pelaksanaan Generational Endgame (GEG) jika tiada tindakan tegas diambil.
  • Beliau turut menggesa pengharaman semua bentuk promosi, iklan dan jualan dalam talian vape, selaras dengan komitmen negara di bawah Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) 2003.

Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, kadar perokok dewasa kini dianggarkan mencecah 50 peratus, menjadikan usaha pengharaman rokok satu cabaran besar.
“Kami (MCTC) cadangkan vape diharamkan kerana bilangan pengguna terlalu kecil berbanding perokok... 50 peratus dewasa merokok,” katanya kepada media selepas sidang media sempena Hari Antidadah Sedunia di Dewan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Taman Duta, hari ini.
Sha’ani turut menyatakan bahawa jika kerajaan bertindak lebih awal, khususnya pada tahun 2016, kawalan terhadap vape akan menjadi lebih mudah.
“Kalaulah vape diharamkan pada tahun 2016, ketika itu hanya tiga hingga empat peratus pengguna sahaja... sekarang sudah ramai. Tapi belum terlambat, kita masih boleh kawal,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa vape kini menjadi “nyawa kedua” kepada industri rokok, yang menguasai proses pembuatan dan pemasaran rokok elektronik.
Tambahnya, pelaksanaan polisi Generational Endgame (GEG) — inisiatif menghentikan penjualan produk tembakau kepada individu lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 — berisiko gagal jika tiada tindakan tegas terhadap gejala vape.
“90 peratus pembuatan dan pemasaran vape dikawal oleh syarikat rokok. Ini adalah nyawa kedua mereka. Walaupun ada GEG, mereka akan teruskan melalui vape dan e-cigarette,” katanya.
Dalam majlis sama, Sha’ani turut menggesa kerajaan agar mengharamkan semua bentuk promosi oleh industri vape.
“Haramkan semua bentuk iklan, promosi dan juga jualan dalam talian. Iklan promosi ini memberi tanggapan bahawa vape adalah halal.
“Tiada pihak harus menjemput orang industri dalam apa-apa perbincangan. Ini adalah komitmen negara,” tegasnya.
Beliau merujuk kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) 2003 yang menekankan pengawalan, pengiklanan, promosi dan penajaan produk tembakau oleh kerajaan.
#haram vap #haram vape #MCTC #Generational Endgame