SEREMBAN: Beberapa kawasan di Tampin dan Jempol merekodkan ketiadaan hujan hingga 13 hari berturut-turut akibat fenomena El Nino kali ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata kawasan itu ialah Pusat Ternakan Haiwan Jelai dan Felda Palong Lima yang mengalami cuaca kering tanpa hujan selama 13 hari berturut-turut, diikuti Gemencheh (10 hari), manakala Kuala Pilah dan Jelebu merekodkan 10 hari tanpa hujan hingga dua hari lepas.

"Status panas di negeri ini berada pada tahap berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tiga hari berturut-turut iaitu di Seremban, Jelebu, Rembau dan Tampin. Semua pihak di setiap daerah diminta menghentikan pembakaran terbuka yang boleh meningkatkan suhu persekitaran.

"Orang ramai juga diingatkan agar mengurangkan aktiviti luar, utamakan penjagaan kesihatan terutamanya ketika menjalani ibadah puasa ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya empangan di negeri ini serta air sungai masih cukup dan terkawal selain tiada laporan diterima daripada pesawah yang terjejas akibat cuaca panas.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri membenarkan semua penjawat awam wanita termasuk bukan Islam di negeri ini pulang seawal 2 petang pada setiap Jumaat bermula minggu ini selaras dengan pelaksanaan waktu bekerja fleksi khas Ramadan kali ini.

Menurutnya pekerja wanita yang memulakan tugas pada 7.30 pagi tidak perlu keluar berehat dan setelah selesai kerja mereka boleh pulang ke rumah masing-masing pada masa ditetapkan tersebut.

"Pengurusan kaunter di jabatan dan agensi di negeri ini fleksible dan tidak akan terjejas, selepas mereka tamat waktu kerja pekerja lelaki akan mengambil alih tugas tersebut," katanya.

-- BERNAMA