[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

KBS fokus tangani ketagihan, isu kesihatan mental belia - Hannah

Madiha Abdullah 27/04/2025 | 09:16 MYT
Menurut Hannah, penggunaan produk rokok elektronik bukan sahaja membawa kepada masalah ketagihan tetapi juga masalah mental. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan fokus dengan usaha melawan penggunaan dadah dan masalah ketagihan, khususnya rokok eletronik dalam kalangan belia.

Ringkasan AI
  • Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi tumpuan kepada usaha melawan ketagihan dadah dan rokok elektronik dalam kalangan belia, kerana produk tersebut bukan sahaja menyebabkan ketagihan tetapi juga memberi kesan negatif kepada kesihatan mental.
  • KBS bukan agensi penguatkuasa, tetapi berperanan dalam memastikan kesejahteraan belia, dengan memperkenalkan SOP baharu seperti di konsert dan menyediakan akses bantuan serta rawatan bagi mereka yang mengalami masalah ketagihan.
  • Program Rakan Muda digalakkan untuk menjalankan program dalam talian, bagi membantu belia yang mungkin malu mendapatkan bantuan secara fizikal, serta memberikan kesedaran tentang gaya hidup sihat dan rawatan ketagihan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, menerusi sesi libat urus bersama Kementerian Kesihatan dan perbincangan dengan pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur mendapati, penggunaan produk rokok elektronik bukan sahaja menyebabkan masalah ketagihan tetapi juga masalah mental.
"Penggunaan rokok elektronik ini merisaukan kerana mereka tak tahu isi kandungan dalam cecair tersebut dan boleh merosakkan minda belia kita.
"Apabila ketagihan berlaku, akan ada simptom withdrawal yang boleh membawa kepada terjejasnya kesihatan mental.
"KBS bukan agensi penguatkuasa, jadi yang kita perjuangkan ialah kesejahteraan dan kesihatan belia. Kita mahu mereka tahu di mana nak dapat bantuan dan rawatan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Rakan Muda 2025 di ibu negara, pada Ahad.
Jelasnya, beberapa prosedur operasi standard (SOP) baharu yang diperkenalkan sebelum ini, antaranya seperti SOP baharu di konsert, adalah bertujuan untuk membantu belia yang mempunyai masalah berkaitan untuk tampil mendapatkan bantuan.
Selain itu, program Rakan Muda juga digalak untuk melaksanakan program dalam talian bagi menarik golongan belia ke arah menjalani gaya hidup sihat.
"Saya galakkan jangan buat program fizikal saja kerana dalam kes ketagihan ini, belia mungkin rasa malu dan tak nak keluar tetapi mereka nak cari bantuan.
"Jadi kena pelbagaikan kelas dan program dalam talian di mana kita boleh cari mereka mereka. Golongan ini main gajet, jadi apabila mereka alami ketagihan, mereka tahu di mana nak dapatkan rawatan," katanya lagi.
#ketagihan #kesihatan mental #KBS #Hannah Yeoh