MALAYSIA

KBS galak belia austistik sertai kursus ILKBS

Ernalisa Othman 20/09/2025 | 03:50 MYT
Hannah Yeoh pada sidang media selepas menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 Tahun 2025 di Dewan Utama, Bangi Avenue Convention Center (BACC), pada Sabtu.
BANGI: Ibu bapa digesa mengambil peluang menghantar anak-anak berkeperluan khas, khususnya belia autistik, mengikuti kursus kemahiran yang ditawarkan di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, usaha itu penting bagi memastikan golongan terbabit memperoleh latihan kemahiran yang mampu membantu mereka berdikari serta memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Setiap tahun kita ada ramai pelatih yang dilatih dan saya percaya kursus percuma ini wajar dimanfaatkan ibu bapa dengan menghantar anak-anak mereka ke ILKBS,” kata Hannah.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke-20 Tahun 2025 di Dewan Utama, Bangi Avenue Convention Center (BACC), di sini, pada Sabtu.

Sejak kursus khas untuk belia autistik diperkenalkan pada 2018, seramai 343 graduan telah berjaya menamatkan latihan, termasuk 48 orang pada sesi konvokesyen kali ini.

Menurut Yeoh, ILKBS bukan sahaja melahirkan tenaga mahir tetapi turut berjaya melahirkan ramai usahawan dalam kalangan alumni, yang kini kembali menyumbang kepada institut dengan mengambil pelatih bekerja dan berkongsi kepakaran.

“Setiap tahun kita menjejak pencapaian mereka. Ramai alumni kini menjadi usahawan, mengambil junior bekerja dengan syarikat masing-masing, malah ada yang kembali menyumbang dalam bentuk kepakaran dan sokongan lain,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Hannah memaklumkan, kadar kebolehpasaran graduan ILKBS kini mencapai 97 peratus, jauh melepasi sasaran awal dan membuktikan laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah pilihan yang tepat untuk masa depan belia negara.

Beliau menegaskan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui ILKBS merupakan antara peneraju utama pendidikan TVET serta kini menganggotai Majlis TVET Negara, bagi memastikan suara belia didengar dalam penetapan dasar kemahiran negara.

“Lebih membanggakan, ILKBS turut komited menjadi peneraju dalam menyediakan peluang latihan khas untuk belia autisme melalui Program Inklusiviti Belia Autisme dan Berkeperluan Khas yang dilaksanakan di beberapa kampus terpilih,” katanya.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 3,240 graduan ILKBS di Semenanjung menerima pengiktirafan di peringkat Diploma Lanjutan, Diploma, Sijil Lanjutan dan Sijil. Sementara itu, di Sabah seramai 171 graduan dijadual menerima sijil pada 27 September, manakala 97 graduan lagi di Sarawak pada 4 Oktober ini.



#belia autistik #ILKBS #Kementerian Belia dan Sukan #Hannah Yeoh