[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
MALAYSIA

KBS mahu papar senarai jurulatih bertauliah demi keselamatan atlet

Bernama 14/07/2025 | 20:45 MYT
Hannah memberi ucapan perasmian pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 100Plus 2024 pada Isnin. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperkemas proses pensijilan jurulatih sukan di seluruh negara, termasuk usaha memaparkan senarai jurulatih bertauliah kepada umum.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, perbincangan sedang dijalankan bagi mengenal pasti mekanisme terbaik untuk memastikan setiap jurulatih memiliki sijil tauliah yang sah, sekali gus meningkatkan tahap profesionalisme serta keselamatan dalam bidang kejurulatihan sukan.

"KBS sedang berbincang dengan ISN untuk menentukan kaedah terbaik setiap jurulatih mendapatkan sijil tauliah. Kita juga merancang untuk memaparkan nama-nama jurulatih yang berjaya mendapat pengiktirafan rasmi.

"Ini penting kerana kita kini mempunyai kemudahan pelepasan cukai bagi latihan sukan dan ibu bapa semakin cenderung memilih jurulatih untuk anak mereka. Maka, kita mahu pastikan persekitaran latihan yang selamat untuk semua, termasuk kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024, di sini, pada Isnin.

Hannah berkata, maklumat lanjut mengenai mekanisme pensijilan itu akan diumumkan oleh ISN dalam masa terdekat.

-- BERNAMA







#KBS #ISN #pelepasan cukai #sijil tauliah