KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil langkah proaktif menggerakkan belia sebagai sukarelawan di lapangan bagi memantau sebarang eksploitasi kenaikan atau lonjakan harga barangan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama berkata bagi tujuan itu, Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bersama MBM akan mengaktifkan sukarelawan belia di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu, sukarelawan berkenaan akan melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Ini adalah selaras dengan pengumuman terkini oleh kerajaan yang mengekalkan subsidi ke atas beberapa makanan asas," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kerjasama strategik berkenaan mampu menggerakkan belia bagi membantu kerajaan untuk memelihara dan melindungi kepentingan pengguna.

Kerajaan semalam memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung, manakala harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban.

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan kerajaan mengekalkan subsidi minyak masak sebanyak RM4 bilion untuk tahun ini bagi menanggung kategori minyak masak kampit satu kilogram.

-- BERNAMA