[TERKINI] Lagi Kes Serangan Seksual di Sekolah: 4 Pelajar Ditahan di Baling – Klik untuk Laporan Penuh
MALAYSIA

KBS peruntuk RM5 juta bagi inisiatif ‘Lawan Buli’ - Hannah

Shafiqa Azami 16/10/2025 | 04:00 MYT
Hannah berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM40 juta bajet Program Rakan Muda 2025, yang diluluskan Kementerian Kewangan iaitu peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding tahun ini. - Gambar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi melaksanakan inisiatif “Lawan Buli” tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha membanteras budaya buli dalam kalangan belia dan pelajar sekolah.


Ringkasan AI
  • Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan RM5 juta bagi inisiatif 'Lawan Buli' tahun 2025 sebagai sebahagian daripada bajet RM40 juta Program Rakan Muda, yang meningkat 60 peratus berbanding tahun sebelumnya.
  • Inisiatif ini melibatkan penyelidikan, pendidikan dan intervensi komuniti, dengan perinciannya dibincangkan dalam Persidangan Meja Bulat Belia bersama pelajar, NGO, PIBG dan agensi kerajaan bagi mencari pendekatan menyeluruh menangani budaya buli.
  • Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menekankan keperluan sistem mentor profesional dalam kalangan belia dan pekerja belia terlatih, dan hasil perbincangan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebagai cadangan intervensi di bawah Rakan Muda Rakan Prihatin.


Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata peruntukan itu merupakan sebahagian daripada RM40 juta bajet Program Rakan Muda 2025, yang diluluskan Kementerian Kewangan iaitu peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding tahun ini.

“Daripada jumlah itu, RM5 juta diperuntukkan khusus untuk inisiatif ‘Lawan Buli’, bagi memastikan usaha membanteras budaya buli dilaksanakan dengan lebih tersusun, melibatkan penyelidikan, pendidikan dan intervensi berasaskan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat Belia (RTD): Menoktahkan Budaya Buli, Membina Generasi Prihatin di Putrajaya pada Khamis.

Menurut beliau, perincian inisiatif tersebut dibincangkan dalam Persidangan Meja Bulat Belia bagi mendengar pandangan golongan muda, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta agensi kerajaan tentang cara menoktahkan budaya buli dan membina generasi prihatin.

“Banyak pandangan yang kita dengar, termasuk daripada pelajar, NGO dan PIBG. Semua sepakat bahawa menangani isu buli memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan, bukan hanya oleh satu kementerian,” katanya.

Hannah turut menekankan keperluan mewujudkan sistem mentor melibatkan golongan belia lebih dewasa serta pekerja belia profesional bagi membantu menangani kes buli dengan lebih efektif.

“Kita perlukan sistem bimbingan yang selamat dan profesional. Golongan belia dan NGO boleh memainkan peranan besar, tetapi mereka mesti dilatih terlebih dahulu agar nasihat yang diberikan tepat dan tidak memudaratkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa hasil perbincangan meja bulat itu akan dikumpulkan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh dua hingga tiga minggu sebagai nota makluman serta cadangan intervensi di bawah program Rakan Muda – Rakan Prihatin.





#KBS #Hannah Yeoh #Lawan Buli