MALAYSIA
KBS tetap laksana had umur belia pada 1 Januari - Hannah

Hannah (tengah) bersama para wakil Kementerian dan Belia pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara, Sidang Satu, Penggal ke-35 Sesi 2025-2026 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Ketetapan had umur 30 tahun bagi belia di negara ini yang berkuat kuasa 1 Januari tahun depan tetap dilaksanakan selepas ditunda sebanyak dua kali, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Ringkasan AI
- Had umur belia di Malaysia akan ditetapkan kepada 30 tahun bermula 1 Januari 2026, selepas dua kali penangguhan, selaras dengan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2019.
- KBS akan mengusulkan agar semua kementerian terus memberi sokongan kepada belia mengikut kumpulan umur masing-masing, walaupun terdapat kebimbangan daripada persatuan belia luar bandar yang belum bersedia.
- Hanya 10 peratus daripada 8,272 pertubuhan belia telah membuat pindaan perlembagaan, manakala Presiden MIYC menyokong had umur bawah 30 tahun sebagai langkah memperkasakan kepimpinan belia selaras dengan amalan antarabangsa.
Terdahulu, beberapa delegasi menyatakan kerisauan bahawa persatuan belia, khususnya di luar bandar, tidak bersedia untuk pelaksanaan berkenaan, selain ada yang mahu had umur ditetapkan pada 35 tahun.
Hannah pada November 2023 berkata penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 akan bermula 2026, iaitu pindaan melibatkan penetapan had umur menjadi ahli pertubuhan belia antara 15-30 tahun, had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia kepada 18-30 tahun dan mengehadkan tempoh jawatan ketua pertubuhan belia selama empat tahun.
Menurut KBS terdapat 8,272 pertubuhan belia berdaftar secara sah di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dengan 53,535 orang (54 peratus) pemegang jawatan terdiri mereka di bawah umur 30 tahun.
Daripada jumlah itu, hanya 865 (10 peratus) pertubuhan belia telah membuat pindaan perlembagaan sebagai persediaan untuk had umur 30 tahun, termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC).
Sementara itu, Presiden MIYC Dhanesh Basil ketika ditemui Bernama berkata had umur belia wajar ditetapkan di bawah 30 tahun sekali gus memperkasakan peranan golongan itu untuk memikul tanggungjawab dan memainkan peranan lebih penting dalam kepimpinan.
"Ia juga selaras dengan dasar di negara lain yang tetapkan umur belia di bawah 27-30 tahun, manakala kita masih anggap mereka yang berumur 40-50 tahun sebagai belia. Kebanyakan negara ASEAN dan maju yang lain sudah melaksanakan perkara ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami