MALAYSIA

KDN ambil tindakan terhadap pusat pemulihan dadah swasta susulan kes kematian

Bernama 05/08/2025 | 09:40 MYT
Saifuddin berkata pindaan RUU Penagih Dadah 2024, membolehkan kerajaan mengawal selia dan mengambil langkah penguatkuasaan terhadap pusat pemulihan dadah swasta yang melanggar garis panduan ditetapkan AADK. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KAJANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil tindakan terhadap sebuah pusat pemulihan dadah swasta di Negeri Sembilan susulan kes kematian yang berlaku di premis berkenaan.


Ringkasan AI
  • KDN mengambil tindakan terhadap sebuah pusat pemulihan dadah swasta di Negeri Sembilan susulan kes kematian, berikutan pindaan Akta Penagih Dadah yang kini membolehkan penguatkuasaan terhadap pusat tidak berdaftar atau melanggar garis panduan AADK.
  • Pindaan akta yang diluluskan pada 18 Julai memberi kuasa kepada AADK untuk memperakukan rawatan secara sukarela dan mengawal selia pusat pemulihan swasta, yang sebelum ini tidak boleh diambil tindakan.
  • Menteri Dalam Negeri memaklumkan kadar kepulihan klien AADK kini mencecah 78 hingga 79 peratus, hampir mencapai sasaran 80 peratus yang ditetapkan sebagai penanda kejayaan program pemulihan.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu dapat dilaksanakan selepas pindaan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 2024, yang membolehkan kerajaan mengawal selia dan mengambil langkah penguatkuasaan terhadap pusat pemulihan dadah swasta yang melanggar garis panduan ditetapkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

"Ada satu kes yang kita telah ambil tindakan iaitu di Negeri Sembilan yang menyebabkan kematian. Sebelum ini kita tidak boleh mengambil tindakan, tetapi sekarang sudah boleh. Inilah antara kebaikan pindaan Akta Penagih Dadah," katanya pada sidang media selepas merasmikan program i-DEEN anjuran AADK di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian sebagai mengulas laporan khas media tempatan yang mendakwa terdapat pusat pemulihan dadah persendirian yang tidak berdaftar dan melanggar garis panduan yang ditetapkan AADK.

Beliau menegaskan pindaan Akta Penagih Dadah itu membolehkan kerajaan mengambil tindakan kawalan terhadap pusat pemulihan dadah swasta yang gagal mematuhi undang-undang.

Pada 18 Julai lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 selepas kali terakhir dipinda 20 tahun lepas.

RUU itu antara lain memberi kuasa kepada AADK untuk memperakukan rawatan dan pemulihan penagih dadah secara sukarela selain pegawai perubatan.

Mengenai kadar kepulihan dalam kalangan klien AADK, beliau berkata sehingga kini ia menghampiri 80 peratus.

"AADK menetapkan standard sekitar 80 peratus untuk tahun berikutnya. Pada masa ini, kadar kepulihan berada antara 78 hingga 79 peratus. Sekiranya berjaya mencapai 80 peratus, kita akan menganggapnya sebagai kadar kejayaan yang baik," katanya.

-- BERNAMA


#Saifuddin Nasution #KDN #pusat pemulihan dadah #pindaan RUU