KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri mengadakan perbincangan dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi menyediakan dana kepada bekas banduan sebagai persedian mereka kembali memulakan kehidupan baharu.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ismail Mohamed berkata, kerajaan menerusi Jabatan Penjara Malaysia melaksanakan pelbagai usaha dalam memastikan banduan yang dibebaskan dilengkapkan dengan kemahiran yang mencukupi sebelum mereka kembali ke dalam komuniti.

Menurut beliau, sepanjang menjalani proses pemenjaraan dan pemulihan, banduan akan mengikuti pelbagai program latihan kemahiran bersijil di dalam penjara dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Sebahagian daripada latihan berkenaan melibatkan penyertaan banduan yang akan dilatih seterusnya akan menghasilkan sendiri beberapa produk seperti produk tenun, songket, pastri, makanan sejuk beku, kuih raya, perabot, ukitan kayu dan pelabagai produk lagi yang berasakan kemahiran.

"Kemahiran dalam bidang-bidang ini dapat membantu seseorang banduan mencari pekerjaan dalam sektor yang bersesuaian sebaik sahaja selesai menjalani hukuman.

"Justeru, kita (Kemneterian Dalam Negeri) sedang berusaha mengadakan perbincangan dengan kementerian-kementerian seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, supaya apabila mereka (banduan) keuar mereka akan diberi dana untuk dibantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sivakumar Varatharaju Naidi (PH-Batu Gajah) asama ada kerajaan mempunyai agensi khusus bagi mempromosikan hasil banduan.

Menjawab soalan asal, Ismail memberitahu, antara program yang turut dilaksanakan di penjara adalah Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL), Banduan Kemahiran Luar Penjara (BKLP) dan Program Jalinan Kasih.

Menurutnya, lebih 1.9 juta banduan dibebaskan dari 2011 hingga 1 Oktober lalu.

"Demi kepentingan pemulihan dan asimilasi semula ke dalam masyarakat, KDN melalui Jabatan Penjara juga telah memperkenalkan program Corporate Smart Internship (CSI) iaitu kerjasama dengan syarikat swasta bagi memberi peluang untuk Orang Diparol (ODP) menyertai sektor pekerjaan.

"Antara syarikat yang telah menjalinkan  kerjasama dengan Jabatan Penjara seperti syarikat Panasonic, BOUSTEAD Berhad, Tradewinds Corporation Berhad, Felda, Felcra dan syarikat Mamee," jelas beliau lagi.