MALAYSIA

KDN cekup hampir 55,000 warga asing salah guna pas sosial - Fahmi

Asyraf Malik 30/01/2026 | 09:03 MYT
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seramai 54,791 warga asing diperiksa dan diambil tindakan bagi penyalahgunaan pas sosial untuk bekerja sepanjang tahun 2025 sehingga pertengahan Januari 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika Mesyuarat Jemaah Menteri, pada Jumaat.

Tambah Fahmi, daripada jumlah itu, seramai 51,100 warga asing diperiksa dan diambil tindakan dalam tahun 2025, manakala 3,691 orang pada Januari 2026.

"Tindakan penguatkuasaan ini melibatkan individu yang masuk ke Malaysia menggunakan pas sosial, sama ada atas tujuan lawatan atau pelancongan, tetapi akhirnya ada elemen pekerjaan dikesan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minta tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap pelawat asing yang menyalahgunakan pas sosial atau kelonggaran visa untuk bekerja," jelas Fahmi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kementerian Komunikasi, di sini pada Jumaat.








#Kementerian Dalam Negeri #Datuk Fahmi Fadzil #pas sosial #warga asing