KDN lupuskan 4,667 unit alat mainan seks seberat 5,500 kg

KDN memaklumkan bahan-bahan terlarang ini ialah hasil daripada aktiviti operasi yang telah selesai melalui proses mahkamah pada Julai 2023 hingga Jun 2024. - Gambar/ KDN
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK KDN) melupuskan 4,667 unit alat mainan seks seberat 5.5 tan dengan anggaran nilai RM146,000 yang dirampas di sekitar Selangor.
Dalam kenyataan hari ini, KDN memaklumkan bahan-bahan terlarang ini ialah hasil daripada aktiviti operasi yang telah selesai melalui proses mahkamah pada Julai 2023 hingga Jun 2024.
"Tindakan pelupusan ini dilaksanakan setelah kesemua barangan tersebut diputuskan untuk dilucutkan hak melalui perintah mahkamah di bawah Seksyen 19(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.
"Kaedah pelupusan dilaksanakan mengikut Garis Panduan Pengurusan Pelupusan Barang Kes/Tahan/Eksibit yang dikeluarkan oleh PK KDN, dengan memastikan alat mainan seks berkenaan dimusnahkan sepenuhnya supaya tidak lagi berbentuk asal atau berfungsi," menurut kenyataan itu.KDN memaklumkan pihaknya komited melaksanakan penguatkuasaan dengan tegas dalam membanteras bahan atau penerbitan yang memudaratkan kemoralan, ketenteraman awam serta bertentangan dengan sosiobudaya masyarakat Malaysia.
"KDN menegaskan bahawa aktiviti seumpama ini bukan sahaja tidak bermoral, tetapi boleh menjejaskan nilai dan norma kehidupan masyarakat.
"Kementerian akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam mencetak, mengimport, menghasilkan, menerbit, menjual atau mengedar hasil penerbitan larangan yang memudaratkan kemoralan, keselamatan negara, atau kepentingan awam," menurut kenyataan itu.
Orang ramai diseru supaya membantu usaha ini dengan menyalurkan maklumat berkaitan penerbitan tidak diingini melalui talian 03-8000 8000 / 8889 3909, e-mel [email protected], atau laman web rasmi www.moha.gov.my.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami