KDN nafi lantik perantara uruskan permohonan pekerja asing

Bernama
Mei 16, 2014 15:55 MYT
Mohamad Khalid Shariff - Gambar Fail
Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jumaat menegaskan bahawa kementerian tidak pernah melantik mana-mana pihak sebagai perantara atau orang tengah bagi memudahkan urusan permohonan pekerja asing.
Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Shariff berkata sebarang permohonan pekerja asing perlu diuruskan secara terus oleh majikan.
"Justeru, jika ada pihak yang mengaku sebagai agen atau wakil kementerian maka ia adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan di sini Jumaat.
Mohamad Khalid berkata KDN sentiasa memandang serius terhadap sebarang dakwaan dan aduan orang ramai mengenai penglibatan sindiket atau mana-mana agen yang menawarkan permohonan pekerja asing kepada majikan.
"Sekali lagi KDN menegaskan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kegiatan yang tidak berintegriti ini," katanya.
#KDN #Kementerian Dalam Negeri #Mohamad Khalid Shariff #pekerja asing