KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan merampas pelbagai jenis peranti dan al-Quran elektronik tanpa perakuan bernilai RM61,890 di sebuah premis perniagaan di Kampung Seberang Takir dekat sini hari ini.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof berkata serbuan kira-kira 9.30 pagi oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada Ibu Pejabat Putrajaya dan KDN Terengganu itu berdasarkan risikan dan pemantauan selama beberapa hari menerusi platform e-dagang.

Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 30-an yang merupakan pemilik premis berkenaan bagi membantu siasatan.

"Barangan dirampas termasuk 28 kad memori mengandungi 12,041 filem pelbagai tajuk, 12 pemacu pena mengandungi 12,000 filem pelbagai tajuk, satu komputer riba, satu cakera keras mengandungi 2,000 filem pelbagai tajuk dan 25 pemain video," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata rampasan tersebut bagi kesalahan filem yang tiada perakuan B di bawah Akta Penapisan Filem (APF) 2002 dan bahan al-Quran elektronik yang tidak mempunyai perakuan KDN melalui Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986.

Menurut Nik Yusaimi hasil pemantauan pihaknya mendapati terdapat banyak aktiviti jualan yang menyalahi APF 2002, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta APTQ 1986.

"Kami dapati aktiviti jualan seumpama ini semakin berleluasa menerusi laman e-dagang.

"Justeru kami ingin mengingatkan semua pihak supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti membeli, memiliki dan menjual filem yang tiada perakuan kerana boleh dikenakan tindakan tegas," katanya.

-- BERNAMA