KDN sedang dalam proses perolehan kamera badan untuk kegunaan polis

Rahimah Abdullah
Disember 13, 2022 09:04 MYT
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) pada sidang media ketika mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang dalam proses perolehan kamera badan untuk kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lapangan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau dimaklumkan bahawa peruntukan RM30 juta telah diluluskan bagi tujuan itu.
"Saya dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha (KSU) bahawa peruntukan RM30 juta telah diluluskan dan sekarang, kita sedang dalam proses perolehan (kamera badan).
"Diharap tiada lagi masalah dan kita akan segera mendapatkan kamera badan berkenaan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini pada Selasa.
Saifuddin Nasution berkata, pihaknya juga akan melakukan tindakan susulan bagi memastikan proses perolehan kamera badan itu dapat disegerakan.
"Adakah ia merupakan keperluan? Ya. Adakah bajet dikenal pasti? Ya. Jadi, sudah tentu keperluan dan bajet mesti diikuti dengan proses perolehan melibatkan beberapa kementerian khususnya Kementerian Kewangan.
"Kita akan terus menyusun dengan tindakan follow up (susulan) bagi memastikan bahawa ia harus disegerakan. Kita tiada kawalan dari segi aspek itu. Kita harap kerenah yang melambatkan itu akan dapat kita atasi," ujarnya.
Mengulas mengenai banjir, Saifuddin Nasution berkata, PDRM akan menggunakan pengalaman lalu yang dilihat berkesan bagi menghadapi kejadian itu terutama di negeri Pantai Timur Semenanjung.
Selain mengerahkan aset-aset terlibat, katanya PDRM akan juga terus menjaga keselamatan harta benda penduduk yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka susulan bencana berkenaan.
#Saifuddin Nasution #Kementerian Dalam Negeri #Polis Diraja Malaysia #kamera badan #PM10 #Tumpuan PM10