PELABUHAN KLANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan kesediaan untuk menyokong keperluan penggunaan senjata api dalam kalangan pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, langkah tersebut penting bagi memperkukuh aspek keselamatan, khususnya ketika pegawai melaksanakan tugasan di pintu masuk negara.
Advertisement
“AKPS yang baru setahun ditubuhkan berpeluang menyusun atur kekuatan dan kesiapsiagaan berasaskan cabaran semasa.
"Prinsip mereka jelas, mengawal serta menguatkuasakan pergerakan manusia dan barangan di 122 pintu masuk negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Tinjauan Sempena Operasi Khas Pagar Laut di Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah, Pusat Hidrografi Nasional, Pelabuhan Klang pada Khamis.
Beliau menegaskan, sekiranya ada keperluan penggunaan senjata api, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan AKPS untuk menentukan susun atur terbaik.
“Saya bersama Ketua Setiausaha KDN memberi sokongan supaya agensi dapat menjalankan tugas dengan berkesan, di samping menjamin keselamatan pegawai dan anggotanya,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai insiden tembakan di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam, Saifuddin memaklumkan satu sidang media khas akan dibuat oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tidak menolak kemungkinan wujud pihak yang terjejas susulan tindakan penguatkuasaan, sehingga mencetuskan risiko ancaman terhadap pegawai dan anggota.
Shuhaily berkata, ancaman seperti itu telah dijangka dan dalam ucapan beliau kepada komander, beliau sudah mengingatkan pegawai serta anggota agar berwaspada terhadap sebarang ugutan jenayah.