KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan 10 warga asing kerana disyaki bekerja sebagai pengawal keselamatan tanpa permit kerja yang sah dalam operasi di tujuh lokasi sekitar Lembah Klang.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata operasi bersepadu itu dijalankan melalui Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan bersama Jabatan Imigresen pada Rabu lepas.

Beliau berkata pengawal keselamatan warga asing yang ditahan dalam operasi berkenaan adalah warga Pakistan, India, Sri Lanka dan Nepal, selain mengenal pasti empat syarikat kawalan keselamatan terlibat dalam pelanggaran itu.

"Proses siasatan sedang dijalankan untuk tindakan tegas serta syarikat kawalan keselamatan yang terlibat boleh dikenakan tindakan sehingga dibatalkan lesen.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat pas atau permit yang boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Nik Yusaimi berkata hanya warga Malaysia yang telah lulus tapisan keselamatan dan warga Nepal yang mempunyai permit kerja sebagai pengawal keselamatan sahaja dibenarkan bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini seperti termaktub dalam Surat Pekeliling Agensi Persendirian Bilangan 2 Tahun 2006 Akta Agensi Persendirian 1971.

Beliau menggesa syarikat yang menjalankan perkhidmatan kawalan keselamatan supaya meningkatkan kualiti perkhidmatan kawalan keselamatan dan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971.

"Oleh yang demikian, masyarakat yang ingin mendapatkan khidmat pengawal keselamatan daripada syarikat kawalan keselamatan perlu memastikan syarikat tersebut berdaftar dengan KDN," katanya.

Beliau meminta orang ramai untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan pengawal keselamatan haram dengan menghubungi talian 03-80008000/88893145, e-mel [email protected] atau melalui laman web www.moha.gov.my.

-- BERNAMA