Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

KDN tegaskan siasatan serangan anak Rafizi akan dilaksana secara adil - Saifuddin

Shafiqa Azami 13/08/2025 | 11:32 MYT
Saifuddin berkata, PDRM telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan semua siasatan berhubung insiden serangan terhadap anak bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli akan dijalankan secara adil dan berlandaskan undang-undang tanpa dipengaruhi oleh status atau latar belakang mana-mana pihak.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Saya telah menghubungi dan bercakap sendiri dengan YB Rafizi Ramli sejurus dimaklumkan mengenai insiden ini. Saya merakamkan rasa simpati dan keprihatinan yang mendalam kepada beliau dan keluarga, serta mendoakan agar anaknya segera pulih dan keluarga tabah menghadapi ujian ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Saifuddin menegaskan, keselamatan rakyat adalah keutamaan KDN dan tiada kompromi terhadap sebarang bentuk keganasan atau ancaman.

Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk melaksanakan siasatan mengikut undang-undang.

Terdahulu, Rafizi dalam satu kenyataan di media sosial pada Rabu memaklumkan bahawa anaknya telah diserang secara fizikal oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada Selasa.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 1.45 petang ketika anak dan isterinya baharu memasuki kereta untuk beredar dari lokasi itu apabila anaknya ditarik secara tiba-tiba serta dicucuk dengan jarum suntikan.



#Kementerian Dalam Negeri #anak Rafizi ditarik dan disuntik dengan jarum suntikan #Saifuddin Nasution #Rafizi Ramli