INDUSTRI padi Malaysia tidak banyak berubah dan masih berada dalam keadaan sama sejak tahun 70-an dan 80-an.

Ketua Pegawai Operasi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Nurfitri Amir Muhammad mendedahkan, menurut hasil kajian beliau majoriti pesawah di Malaysia masih berada bawah garis kemiskinan, menerima pendapatan bulanan antata RM500 dan RM700 sebulan.

“Majoriti pesawah di Malaysia masih miskin dengan purata hasil 4.8 tan sehektar dan purata saiz sawah 1.26 hektar,” jelasnya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, daripada 100 tan padi yang dituai diproses dikilang, secara purata hanya 64 tan sahaja dapat ditukar kepada beras menyebabkan kadar produktiviti industri padi kekal rendah.

“Lebih mengecewakan, rata-rata pesawah tergolong dalam kategori bekerja sendiri, menyebabkan mereka tidak akan menerima manfaat gaji minimum yang dijanjikan oleh parti-parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” tambahnya.

Oleh itu, beliau turut berharap mana-mana parti yang dapat membentuk kerajaan dapat menyelesaikan lima perkara pokok yang membelenggu pendapatan pesawah di Malaysia.

1. Ketika ini, pengilang membayar harga tetap RM1,200 bagi satu tan padi. Walaupun ditambah RM300 satu tan sebagai subsidi penghasilan harga padi, ia masih tidak dapat menyamai jumlah gaji minimum yang dicadangkan iaitu RM1,500 sebulan sekiranya pesawah tidak mempunyai sawah yang luas. Ia diburukkan lagi dengan potongan pemutuan oleh kilang-kilang beras yang tinggi antara 20 peratus hingga 50 peratus daripada berat hasil tuaian.

2. Kos bersawah yang semakin meningkat melibatkan kos benih, racun, upah bajak, upah racun, kos khidmat jentera menuai. Bagi yang menyewa sawah, harga sewa juga naik sehingga dua kali ganda sejak beberapa tahun lalu.

3. Kualiti benih yang semakin merosot terutamanya apabila benih yang popular dan cukup berkesan sebelum ini kini sudah mudah diserang penyakit.

4. Orang tengah yang telah memberi pinjaman modal bersawah menyebabkan pesawah terdedah kepada risiko eksploitasi atau penipuan. Banyak pesawah hidup dalam keadaan sentiasa berhutang dan mewariskan hutang.

5. Berlaku lambakan beras import di Malaysia menyebabkan jualan beras tempatan terjejas. Laporan menyebut terdapat 200,000 tan beras asing diseludup masuk ke negara ini setiap tahun.