MALAYSIA
Keadaan Abdul Hadi makin pulih, stabil - Muhammad Khalil
Keadaan kesihatan Abdul Hadi dilaporkan semakin pulih dan stabil selepas menjalani rawatan jantung di IJN. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Tahap kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semakin stabil dan beransur pulih selepas menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) beberapa hari lalu.
Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, biarpun semakin pulih, namun bapanya masih perlu dipantau rapi oleh doktor di pusat perubatan berkenaan.
"Alhamdulillah, keadaan Tok Guru (Abdul Hadi) kini stabil dan beransur pulih setiap hari.
"Pihak IJN akan terus memantau keadaan kesihatan Tok Guru sehingga pulih sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Wartawan Negara 2025 anjuran gabungan empat kerajaan negeri Perikatan Nasional (SG4) di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada Sabtu.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan menjalani prosedur rawatan jantung di IJN selepas dimasukkan ke pusat rawatan berkenaan beberapa hari lalu.
Ditanya bilakah bapanya akan keluar daripada IJN, Muhammad Khalil berkata perkara itu masih belum ditentukan oleh doktor yang merawat Ahli Parlimen Marang berkenaan.
"Tidak ada masa yang ditetapkan. Kita tengok pada perkembangan," katanya. - Sinar Harian