KUALA LUMPUR: Sebanyak 74 resolusi dan 150 program yang digariskan melalui pembentangan 10 Kumpulan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu berkata, resolusi dan program itu, telah dirangkumkan di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera melalui tiga matlamat iaitu, keadilan sosioekonomi, kemampanan negara bangsa dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, ini termasuk cadangan Perbadanan Tanah Bumiputera, Tabung Waqaf Mara MADANI, Generasi Usahawan Bumiputera dan Pembangunan Tanah Rizab Melayu seperti dinyatakan di dalam KEB 2024 yang dianjurkan pada 29 Feb hingga 2 Mac lepas.

"Selain itu, mesyuarat juga telah menetapkan jeda waktu bagi setiap kumpulan mengemukakan laporan kemajuan secara berkala dan menetapkan sasaran untuk satu Sesi Pelaporan Setahun Pelaksanaan KEB dilakukan secara berperingkat dan dibentangkan sepenuhnya pada Mei 2025.

"Ini bagi meningkatkan keyakinan rakyat akan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam melaksanakan apa yang telah diresolusikan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, bagi kejayaan sebenar KEB 2024, terletak pada usaha menyeluruh semua pihak berkepentingan ekonomi Bumiputera untuk menterjemahkan resolusi berkenaan dalam bentuk pelaksanaan yang efektif.

"Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mac 2024, telah bersetuju, antara lain supaya satu sekretariat tetap ditubuhkan di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), yang akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, bagi memastikan setiap resolusi tersebut diperhalusi dan dipastikan keberkesanan pelaksanaannya.

"Segala tindakan susulan akan sentiasa diperhalusi, dipantau secara berkala dan pelaksanaannya ditambah baik dari semasa ke semasa, untuk mengangkat darjat ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih baik," katanya.

Terdahulu pada Jumaat, Ahmad Zahid telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bersama pengerusi Kumpulan KEB, yang mana resolusi ini diangkat menjadi agenda baharu pemerkasaan Bumiputera hasil daripada penganjuran KEB 2024. - BERNAMA