Kebakaran di Tawau musnahkan puluhan rumah setinggan - Bomba

Petrus Bernard
Mac 17, 2022 11:33 MYT
Menurut bomba, puluhan rumah setinggan jenis tidak kekal musnah kerana pembinaan yang terlalu rapat. - Foto JBPM
TAWAU: Puluhan rumah musnah dalam satu kebakaran di Kampung Kurnia Jaya Batu 4, Tawau di Sabah pada petang Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 4.45 petang.
"Sebanyak lima jentera bomba dengan kekuatan 23 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh sembilan kilometer.
"Setibanya di lokasi kejadian, puluhan rumah setinggan jenis tidak kekal telah musnah kerana pembinaan yang terlalu rapat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu, pasukan bomba dari BBP Semporna turut dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk membantu operasi pemadaman.
Bagaimanapun, maklumat awal kebakaran tidak melibatkan kecederaan dan kemalangan jiwa.
"Operasi pemadaman masih berjalan dan pihak bomba akan mengemas kini dari semasa ke semasa berkaitan punca kejadian, jumlah rumah yang musnah serta jumlah kerugian," katanya lagi.
#kebakaran #Tawau #rumah setinggan #bomba Tawau