[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Kebakaran gas Putra Heights: 10 van khas untuk hantar pelajar sekolah - Exco

Umavathi Ramayah 06/04/2025 | 08:08 MYT
Anfaal Saari berkata, langkah segera ini diambil bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mengikuti sesi persekolahan yang bermula Isnin selepas cuti Hari Raya Aidilfitri. - Foto/ Fitri Zainuri
SUBANG JAYA: Kerajaan Selangor dengan kerjasama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyediakan 10 van khas bagi membantu pelajar dari dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Putra Heights ke sekolah, bermula esok.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, inisiatif itu melibatkan pelajar di PPS Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia susulan insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas baru-baru ini.
Menurut Anfaal, langkah segera ini diambil bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada mengikuti sesi persekolahan yang akan bermula Isnin selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
“Kerajaan Negeri mengambil maklum cabaran logistik yang dihadapi keluarga mangsa, justeru sebanyak 10 van disediakan untuk membawa pelajar ke sekolah masing-masing secara berjadual," katanya ketika ditemui pemberita di PPS Masjid Putra Heights, di sini pada Ahad.
Berdasarkan data yang dikumpulkan, kata Anfaal, pihaknya mengenal pasti seramai 196 pelajar pelbagai peringkat usia yang bersekolah di 34 sekolah di kawasan tersebut.
Sementara itu, mengenai kebimbangan segelintir mangsa yang ditawarkan rumah sementara sejauh 30 kilometer dari kediaman asal, beliau memaklumkan pihaknya akan meneliti perkara tersebut bersama agensi-agensi berkaitan.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan urusan penghantaran anak-anak ke sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur tanpa membebankan ibu bapa.
“Kita faham bukan mudah bagi keluarga yang terjejas untuk menguruskan anak-anak ke sekolah jika kediaman sementara terlalu jauh. Justeru, kerajaan negeri akan berbincang dengan pelbagai pihak dan agensi logistik bagi mencari penyelesaian terbaik," jelasnya.
#kebakaran paip gas #Putra Heights #bas sekolah #van sekolah