[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
NATIONAL

Kebakaran gas Putra Heights: 100 tan sampah dikeluarkan, lebih banyak menyusul - MB

Umavathi Ramayah 11/04/2025 | 09:15 MYT
Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini kerja-kerja pembersihan hanya tertumpu di Taman Putra Harmoni kerana kawasan itu sahaja yang menerima kelulusan daripada penguat kuasa.
SUBANG JAYA: Kira-kira 100 tan sampah dikeluarkan setakat Khamis dari Taman Putra Harmoni, kawasan perumahan yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Putra Heights, di sini, minggu lalu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebelum ini kerja-kerja pembersihan hanya tertumpu di Taman Putra Harmoni kerana kawasan itu sahaja yang menerima kelulusan daripada penguat kuasa.
Namun, usaha pembersihan kini akan diperluaskan ke Kampung Kuala Sungai Baru susulan kelulusan yang baru diterima dua hari lalu.
"Setakat semalam (Khamis), 100 tan berjaya dikeluarkan di kawasan Taman Putra Harmoni dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat memandangkan Kampung Kuala Sungai Baru turut dibenarkan untuk proses pembersihan,” katanya pada sidang media selepas penyampaian bantuan persekolahan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini pada Jumaat.
Amirudin turut menegaskan kepentingan untuk menyegerakan kerja-kerja pembersihan demi kesejahteraan penduduk yang terkesan.
"Kita telah minta bantuan semua jentera daripada semua pihak supaya dapat lakukan pembersihan segera kerana situasi ini boleh meninggalkan trauma kepada penduduk," tambah beliau.
Beliau berkata, usaha itu perlu diselesaikan secepat mungkin demi memulihkan keadaan dan memberikan kelegaan kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, kerja pembersihan itu dilakukan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk KDEB Waste Management (KDEBWM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
#kebakaran paip gas #Putra Heights #Kutip sampah #Amirudin Shari