NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: 130 keluarga dibenarkan pulang ke rumah
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan penduduk yang belum mendapat kebenaran agar tidak pulang ke rumah masing-masing kerana tiada jaminan keselamatan yang boleh diberikan.
SUBANG JAYA: Sebanyak 130 keluarga daripada keseluruhan 235 kediaman yang telah diperiksa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas kawasan mereka disahkan selamat oleh pihak berkuasa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kesemua rumah yang telah mendapat kebenaran ini berada di Kawasan Taman Putra Harmoni, manakala penduduk di Kampung Sungai Baru dibenarkan pulang.
"Pihak bomba mengesahkan kawasan Kampung Sungai Baru belum lagi mencapai tahap keselamatan yang diperlukan. Oleh itu, kita tidak dapat memberi kebenaran kepada penduduk di sana untuk pulang ke rumah," katanya Ketika sidang media di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan penduduk yang belum mendapat kebenaran agar tidak pulang ke rumah masing-masing kerana tiada jaminan keselamatan yang boleh diberikan.
"Pihak berkuasa juga akan memperketatkan kawalan di kawasan-kawasan yang masih belum dibenarkan pulang untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
"Pihak polis sebelum ini ada memberi sedikit kelonggaran kepada penduduk untuk mengambil dokumen penting tetapi ia akan dipantau dengan lebih ketat," ujarnya lagi.
Tambahannya, pihak berkuasa akan terus memantau keadaan dan hanya membenarkan kepulangan penduduk secara berperingkat selepas menerima pengesahan keselamatan daripada agensi-agensi yang terlibat.
Mengenai jumlah mangsa terjejas, Amirudin memaklumkan jumlah kelurga yang berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah bertambah sebanyak 201 keluarga, daripada 308 keluarga yang diumumkan awal minggu ini.
Beliau menjelaskan bahawa peningkatan ini berlaku disebabkan mangsa kembali ke rumah masing-masing selepas sambutan hari raya Aidilfitri.
"Setakat pagi ini, jumlah keluarga yang terjejas adalah sebanyak 509. Daripada jumlah itu, seramai 157 keluarga kini menetap di PPS, manakala 352 keluarga tinggal di luar pusat melalui pengurusan sendiri.
“Sehubungan itu, kita menggesa mana-mana mangsa yang masih belum mendaftar di PPS agar berbuat demikian segera kerana pendaftaran akan ditutup esok,” katanya.
Pada 3 April lalu, penghuni di 85 unit rumah yang terkesan akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya 1 April lalu dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.