MALAYSIA

Kebakaran gas Putra Heights: 219 rumah terjejas - Polis

Bernama 06/04/2025 | 11:15 MYT
Jumlah itu hasil penilaian akhir fizikal oleh JBPM Selangor, syarikat utiliti dan pihak berkuasa tempatan terhadap 439 rumah dalam radius 325 meter dari pusat letupan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 219 rumah didapati terjejas dalam insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya manakala 220 kediaman disahkan selamat dan tidak terkesan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia hasil penilaian akhir fizikal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, syarikat utiliti dan pihak berkuasa tempatan terhadap 439 rumah dalam radius 325 meter dari pusat letupan.

"Daripada jumlah itu, 87 rumah mengalami kerosakan besar melebihi 20 peratus manakala 132 lagi mengalami kerosakan kecil kurang 20 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights dekat sini hari ini.

Hussein berkata rumah dengan kerosakan di bawah 20 peratus dibenarkan dibaiki penghuni atau pemilik rumah bermula hari ini, dengan senarai rumah berkenaan akan diedar kepada tuan rumah.

#kebakaran paip gas #Putra Heights #bilangan rumah terjejas #Hussein Omar Khan