[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
NATIONAL

Kebakaran gas Putra Heights: 235 penduduk terima kaunseling - Nancy Shukri

Faida Rahim 07/04/2025 | 03:30 MYT
Nancy menyantuni penduduk terjejas di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights pada Isnin.
SUBANG JAYA: Seramai 235 penduduk terjejas dalam insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights di sini, mendapatkan khidmat kaunseling setakat pagi Isnin.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan kementeriannya menghulurkan bantuan berdasarkan keperluan khusus terutama golongan orang kurang upaya (OKU).
“Daripada kaunseling itu di Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), kita dapat mengetahui apa yang mereka perlukan. Dari situ kita telah menyantuni mereka yang terjejas lebih kepada keperluan setiap individu.
“Ini bukan keperluan secara menyeluruh lagi, ada juga yang memerlukan telefon bimbit kerana keperluan terlalu terdesak.
“Walaupun kita tak bagi kepada semua, tetapi kami mengkaji keperluan masing-masing. Dan menariknya ada juga yang memerlukan air purifier (penapis udara) kerana memiliki anak autistik. Ada yang baru bersalin perlukan pakaian dalam... kita beri juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyantuni penduduk terjejas di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights pada Isnin.
Dalam pada itu, Nancy memaklumkan hanya 0.7 peratus sahaja penduduk yang mengalami trauma akibat kejadian.
“Yang betul-betul trauma itu ada tetapi tidak ramai, peratusan mungkin dalam 0.7 peratus sahaja, tidaklah yang betul-betul teruk. Yang teruk sudah mendapat rawatan di hospital,” katanya.
Mengulas lanjut, Nancy memberitahu lebih 10 kaunselor ditempatkan di PSSS setiap hari yang memberi khidmat secara bergilir.
“Alhamdulillah setiap hari tidak kurang 10 kaunselor di lokasi, mereka bekerja dalam tiga shif dalam sehari.
“Mereka (penduduk) perlukan seseorang untuk mengadu. Tapi kebanyakan tidaklah masalah yang begitu besar sekali. Jadi sebab itu kita kategorikan mereka sebab kebanyakan mahu keluar dari sini, mereka mahu fresh air (udara segar),” katanya.
Insiden kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lepas mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan 38 daripada keseluruhan 146 mangsa tragedi itu masih dirawat di hospital dan klinik, merangkumi 18 mangsa di hospital kerajaan manakala 20 lagi di kemudahan kesihatan swasta.
#kebakaran paip gas #Putra Heights #kaunseling #Nancy Shukri