NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: 25 pegawai JBPM digerak untuk siasatan teknikal
Beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan perumahan hangus sepenuhnya susulan insiden kebakaran melibatkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. Gambar kecil: Nor Hisyam.
SUBANG JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan seramai 25 pegawai penyiasat kebakaran untuk melaksanakan kerja-kerja penilaian keselamatan dan siasatan teknikal di lokasi letupan paip gas di Putra Heights.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisyam Mohammad berkata, anggota yang terlibat merupakan tenaga pakar dari Unit Penyiasatan Kebakaran yang dihantar khas dari Selangor, Melaka, Kuala Lumpur serta dari Ibu Pejabat JBPM.
"Kesemua mereka ialah anggota berpengalaman dan berkemahiran tinggi.
"Mereka digerakkan bagi memastikan penilaian dijalankan secara menyeluruh, meliputi beberapa aspek utama terutamanya siasatan teknikal," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurut beliau, dua pasukan utama telah ditubuhkan bagi mengendalikan siasatan di lapangan.
"Pasukan pertama bertanggungjawab membuat anggaran kerugian, manakala pasukan kedua menumpukan kepada aspek teknikal, termasuk siasatan terhadap sistem yang mungkin mengalami kegagalan.
“Pasukan teknikal kami turut bekerjasama dengan beberapa agensi berkaitan untuk memeriksa setiap kemungkinan dari sudut teknikal bagi memastikan punca sebenar letupan dapat dikenal pasti,” katanya.
Mengulas perkembangan terkini, Nor Hisyam memaklumkan bahawa JBPM kini berada di fasa akhir proses penilaian keselamatan, dengan kompilasi maklumat dijangka siap dan diserahkan kepadanya sekitar jam 4 petang.
"Setakat ini, laporan akhir masih dalam proses kompilasi. Kami akan membentangkan hasil penilaian kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan," katanya.
Selasa lalu, kebakaran saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi itu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan tetapi masih boleh didiami selepas melalui proses pembaikan, manakala 87 lagi rumah mengalami kerosakan teruk dan tidak boleh didiami. - Sinar Harian