[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Kebakaran gas Putra Heights: 613 keluarga dibenarkan pulang, PPS ditutup

Ernalisa Othman 13/04/2025 | 07:16 MYT
Antara 613 keluarga yang mula pulang ke kediaman masing-masing selepas insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku pada 1 April lepas. - Foto Astro AWANI/Ernalisa Othman
SUBANG JAYA: Kesemua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa kebakaran gas dalam kejadian di Putra Heights Subang Jaya 1 April lalu, ditutup sepenuhnya kira-kira jam 2 petang tadi.

Ringkasan AI
  • Kesemua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang menempatkan mangsa kebakaran gas di Putra Heights Subang Jaya telah ditutup sepenuhnya pada jam 2 petang tadi, dengan 613 keluarga mula mengosongkan PPS sejak awal pagi.
  • Kerajaan negeri menyediakan rumah sewa sementara untuk mangsa kebakaran, termasuk homestay dan Airbnb, dengan bantuan selama sebulan.
  • Insiden kebakaran saluran paip gas pada 1 April menyebabkan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 rumah separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, dan 218 rumah tidak terjejas.

Perkara itu disahkan Pegawai Daerah Petaling Huzunul Khaidil Mohammed yang berkata 613 keluarga yang terlibat telah mula mengosongkan PPS di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights mengikut peringkat sejak awal pagi tadi.
"Alhamdulillah kesemua mangsa hari ini yang terlibat 613 keluarga telah pulang ke kediaman masing-masing yang mana kediaman telah musnah.
"Kita telah sediakan rumah sewa yang ditanggung kerajaan negeri iaitu bulan pertama kerajaan negeri telah sediakan rumah sementara dari homestay dan Airbnb dan memberi bantuan selama sebulan.
"Jadi saya sekali lagi sehingga dua PPS ini yang memberi perlindungan kepada mereka yang kini telah ditutup sepenuhnya.
"Hari ini mereka telah keluar secara berperingkat setelah mereka diberi nota kepada mereka untuk mengosongkan dewan dan mereka boleh membuat perancangan masing masing lebih awal," katanya dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Insiden kebakaran saluran paip gas yang berlaku pukul 8.10 pagi pada 1 April lepas, menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Insiden itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas.
#kebakaran paip gas #Putra Heights #Pusat Pemindahan Sementara #PPS #terkini