NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Air Selangor beri rebat satu bulan bil kepada pelanggan terjejas
Air Selangor memaklumkan rebat sebanyak 100 peratus untuk satu bulan secara one-off itu diberikan bagi membantu meringankan beban pelanggan terlibat.
SHAH ALAM: Pelanggan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang terjejas dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lepas, akan dikecualikan bayaran bil air bagi bulan Mac.
Ringkasan AI
- Pelanggan Air Selangor yang terjejas akibat kebakaran saluran paip gas akan dikecualikan bayaran bil air bagi bulan Mac.
- Air Selangor menyediakan bantuan lain seperti tiada caj bagi penyambungan semula bekalan air dan tiada caj minimum untuk premis yang tiada penggunaan air.
- Pelanggan yang terkesan diminta menghubungi wakil Jabatan Khidmat Pelanggan untuk maklumat lanjut berhubung bantuan yang disediakan.
Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan rebat sebanyak 100 peratus untuk satu bulan secara one-off itu diberikan bagi membantu meringankan beban pelanggan terlibat.
Selain itu, syarikat utiliti itu turut menyediakan beberapa bantuan lain seperti tidak mengenakan caj bagi penyambungan semula bekalan air untuk rumah yang mengalami gangguan air akibat kebakaran tersebut.
"Bantuan lain yang disediakan adalah tiada caj minimum dikenakan ke atas premis yang tiada penggunaan air dalam satu tempoh hingga diputuskan kemudian.
"Air Selangor akan terus mengikuti perkembangan di kawasan terjejas dan komited membantu pelanggan kami di Putra Heights yang terlibat mengikut keperluan semasa," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Pelanggan yang terkesan diminta menghubungi wakil Jabatan Khidmat Pelanggan Yasmin Hood di talian 019-2883897 bagi mengetahui maklumat lanjut berhubung bantuan yang disediakan.
-- BERNAMA