NATIONAL

Kebakaran gas Putra Heights: Bantuan awal untuk rumah terjejas disalurkan mulai Isnin - MB

Umavathi Ramayah 03/04/2025 | 10:16 MYT
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari semasa sidang media mengenai perkembangan berkaitan kejadian kebakaran saluran paip gas yang berlaku di Putra Heights pada Selasa lalu. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Bantuan awal sebanyak RM5,000 dan RM2,500 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemilik kediaman yang terjejas akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights, di sini akan mula disalurkan pada Isnin depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi memastikan bantuan ini sampai kepada mereka yang benar-benar terkesan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri akan menjalankan proses pemurnian data.
"Proses ini penting bagi mengelakkan sebarang isu seperti individu yang mengambil kesempatan atau mereka yang layak tetapi terlepas daripada senarai penerima. Data ini akan dimurnikan oleh unit bencana daerah dengan kerjasama JKM, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Petronas dan agensi berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melibatkan 39 agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK), di sini pada Khamis.
Amirudin memaklumkan proses pemurnian data akan berlangsung dalam tempoh beberapa hari sebelum penyampaian bantuan bermula pada Isnin, yang akan diteruskan pada hari-hari berikutnya.
Setakat ini, kata beliau, seramai 308 keluarga daripada 1,254 mangsa telah berdaftar dengan JKM dan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Ada dua kategori iaitu mereka yang berdaftar dan tinggal di PPS manakala sebahagian ada berdaftar, namun tidak tinggal di PPS.
"Daripada data kita, hanya 630 mangsa daripada 157 keluarga masih ditempatkan di PPS di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia Putra Heights," jelasnya.
Dalam lawatan Perdana Menteri pada Selasa lalu, beliau mengumumkan bantuan RM5,000 kepada pemilik rumah yang rosak teruk manakala RM2,500 diberikan kepada mereka yang terkesan akibat kebakaran saluran paip gas itu.
Bantuan itu bertujuan untuk meringankan beban mangsa bagi perbelanjaan sementara.
#kebakaran paip gas #Putra Heights #bantuan awal #Amirudin Shari #terkini