[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Kebakaran gas Putra Heights: GV Ride tawar pengangkutan percuma kepada mangsa

Faida Rahim 08/04/2025 | 10:15 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride Kabeer Maand berkata inisiatif itu ditawarkan bagi memberikan sokongan kepada penduduk yang terjejas lebih lagi kini yang sedang berhadapan dalam situasi mencabar.
SUBANG JAYA : Penyedia perkhidmatan e-hailing tempatan, GV Ride menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights pada Selasa.

Ringkasan AI
  • GV Ride menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights untuk membantu mereka ke tempat kerja, sekolah, janji temu perubatan, dan keperluan penting lain.
  • Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen GV Ride untuk menyokong komuniti dan memastikan gangguan terhadap rutin harian adalah minimum.
  • GV Ride akan bekerjasama dengan pejabat Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor serta pihak berkuasa tempatan untuk menyelaras program bantuan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, inisiatif itu ditawarkan bagi memberikan sokongan kepada penduduk yang terjejas lebih lagi kini yang sedang berhadapan dalam situasi mencabar.
Katanya, keperluan mendesak untuk pengangkutan yang boleh dipercayai, GV Ride menyediakan perjalanan percuma bagi membantu penduduk yang terkesan untuk ke tempat kerja, sekolah, janji temu perubatan dan keperluan penting lain.
"Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen GV Ride terhadap sokongan komuniti dan memastikan gangguan terhadap rutin harian adalah minimum.
"GV Ride menegaskan komitmen syarikat untuk sentiasa bersama komuniti. Kami percaya pada tindakan apabila komuniti kami paling memerlukan.
"Inisiatif ini adalah cara kami untuk menyumbang semula dan memastikan mereka yang terkesan oleh tragedi ini mempunyai akses kepada pengangkutan yang selamat dan boleh dipercayai," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, Kabeer berkata GV Ride akan bekerjasama rapat dengan pejabat Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han dan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam usaha bantuan bagi menyelaras program ini.
Katanya, inisiatif ini akan berlangsung untuk satu tempoh masa, bagi memberi peluang kepada keluarga yang terkesan membuat persediaan dan penyelesaian pengangkutan jangka panjang.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi Selasa lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu dilapor mencecah 1,000 darjah Celsius yang mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 219 rumah disahkan mengalami kerosakan dalam kejadian itu, manakala 220 rumah lagi diisytiharkan selamat dan tidak terjejas.
GV Ride ialah platform e-hailing yang semakin meningkat di Malaysia, komited untuk mentransformasikan cara rakyat bergerak, menjadikan perjalanan harian lebih mampu milik, lebih selamat dan mesra pemandu.
Dengan fokus terhadap inovasi, kebolehpercayaan dan reka bentuk berorientasikan manusia, GV Ride mencipta pengalaman yang lancar untuk penumpang dan pemandu di seluruh negara.
#GV Ride #kebakaran paip gas #Putra Heights #mangsa kebakaran #terkini