NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Kerajaan peruntuk RM40 juta baik pulih kediaman terjejas
Amirudin bercakap pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM40 juta bagi kerja-kerja membaik pulih kediaman terjejas akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada awal bulan ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan Persekutuan menyediakan RM40 juta untuk membaik pulih kediaman yang terjejas akibat kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, termasuk hasil sumbangan awam.
- Sime Darby akan menguruskan baik pulih di kawasan Putra Heights, sementara SPNB akan bertanggungjawab untuk Kampung Sungai Baru. Kediaman yang mengalami kerosakan melebihi 40% dan perlu pembinaan semula akan mendapat bantuan hingga RM300,000.
- Kerajaan negeri menyediakan bantuan sewa rumah selama enam bulan, dengan kemungkinan lanjutan hingga setahun jika kerja baik pulih mengambil masa lebih lama. Sehingga kini, 214 daripada 445 keluarga telah menerima bantuan sewa.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shaari berkata peruntukan bagi baik pulih itu juga melibatkan hasil sumbangan awam.
Beliau berkata kerja-kerja baik pulih bagi kediaman di sekitar Putra Heights akan dilaksana Sime Darby selaku pemaju kawasan perumahan itu manakala di Kampung Sungai Baru oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
"Proses baik pulih kediaman itu akan kita beri tumpuan kepada aspek kemudahan asas seperti pendawaian elektrik.
"Bagi kerosakan kecil di bawah RM30,000, pemilik kediaman boleh melakukan kerja-kerja pembaikan kediaman mereka sendiri seterusnya buat tuntutan semula kepada PBT (pihak berkuasa tempatan)," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam hari ini.
Amirudin berkata kerajaan negeri menyedari kebimbangan penduduk sekiranya kerja baik pulih rumah mengambil masa melebihi enam bulan.
Beliau berkata dalam hal itu, kerajaan sedia membantu menyediakan bantuan sewa rumah tambahan kepada mereka yang berkenaan berdasarkan data atau maklum balas daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan pihak SPNB.
"Selepas kita dapat maklum balas daripada pihak berwajib ini tentang keperluan proses baik pulih lebih dari enam bulan, kerajaan negeri akan tambah wang sewa kepada ketua isi rumah yang terlibat.
"Maknanya, jika sambung lagi tinggal di rumah sewa hingga lapan bulan atau setahun, kerajaan negeri juga sedia bantu bayaran sewa rumah sebanyak RM2,000 sebulan," katanya.
Amirudin berkata pada masa ini kerajaan menetapkan bayaran bantuan sewa rumah kepada enam bulan kerana yakin selepas tempoh itu, sebahagian besar mangsa sudah boleh pulang ke rumah masing-masing.
Terdahulu, Amirudin menyampaikan bantuan sewa rumah selama tiga bulan kepada 70 ketua isi rumah, menjadikan jumlah penerima setakat ini 214 orang daripada keseluruhan 445 keluarga yang layak.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bantuan baik pulih dan pembinaan semula rumah berjumlah RM40 juta yang diberikan adalah hasil sumbangan menerusi Tabung Amanah Bencana Negara yang ditubuhkan pihaknya sejurus insiden terbabit berlaku.
Beliau berkata pembahagian dana bagi kerja-kerja itu dibuat mengikut kategori kerosakan rumah iaitu kediaman yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus dan memerlukan pembinaan semula, kos siling ditetapkan sebanyak RM300,000 seunit.
Bagi kerosakan melebihi 40 peratus tetapi tidak memerlukan pembinaan semula, beliau berkata kos ditetapkan adalah RM150,000 manakala kos siling RM30,000 diberikan kepada rumah-rumah yang terjejas kurang daripada 40 peratus.
Nga berkata kementeriannya bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) turut memperuntukkan RM6 juta untuk kerja-kerja baik pulih infrastruktur awam terjejas dalam kejadian itu.
"Bagi kerja baik pulih rumah, pihak SPNB dan Sime Darby akan dibenarkan memasuki tapak berkenaan bermula esok dan memulakan kerja dalam radius 100 meter dari kawasan kejadian dengan tempoh ditetapkan selama 24 bulan," katanya.
-- BERNAMA
#letupan gas Putra Height
#kerajaan Persekutuan
#kerja-kerja membaik pulih kediaman
#terkini
#Amirudin Shari