[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Kebakaran gas Putra Heights: Kerja korek 'ground zero' cecah kedalaman 10 meter

Umavathi Ramayah 10/04/2025 | 10:06 MYT
Paip gas yang meletup dikenal pasti berada pada kedalaman kira-kira tujuh meter dari permukaan tanah. - Gambar fail
SUBANG JAYA: Memasuki hari kesepuluh, kerja-kerja pengorekan di kawasan kejadian atau 'ground zero' tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights di sini, masih diteruskan, dengan kedalaman kini kini mencapai 10 meter.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menjelaskan, paip gas yang meletup dikenal pasti berada pada kedalaman kira-kira tujuh meter dari permukaan tanah.
Manurutnya, pengorekan tambahan tiga meter dilakukan bagi mendedahkan keseluruhan struktur paip untuk tujuan siasatan.
“Proses pengorekan ini tidak dapat dijalankan secara tergesa-gesa kerana langkah keselamatan perlu diambil, termasuk membina teres untuk menyokong struktur tanah bagi memastikan ia tidak runtuh semasa pengorekan dilakukan.
"Walau bagaimanapun, tindakan proaktif telah diambil untuk menjalankan kerja-kerja tersebut 24 jam dengan penggunaan jentera yang lebih baik," katanya pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, di sini pada Khamis.
Kata Hussein, disebabkan kerja mengorek tanah masih berjalan, pasukan forensik belum dapat memasuki lokasi sebenar punca kejadian itu untuk melakukan analisis terperinci.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa setakat Khamis, polis menerima 755 laporan berkaitan insiden berkenaan, dengan 172 percakapan daripada saksi direkodkan.
Kebanyakan laporan melibatkan kerosakan rumah, kenderaan dan kecederaan yang dialami mangsa.
#kebakaran paip gas #Putra Heights #PDRM #Hussein Omar Khan #terkini