NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Letupan paip perlukan pencetus - Polis Selangor

Hussein Omar Khan berkata, kebocoran gas semata-mata tidak mencukupi untuk mencetuskan letupan tanpa elemen lain yang boleh menyalakan gas tersebut. - Foto fail/BERNAMA
SUBANG JAYA: Kebakaran paip gas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa lalu dipercayai hanya boleh tercetus sekiranya wujud tiga elemen utama iaitu gas, oksigen, dan pencetus api.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kebocoran gas semata-mata tidak mencukupi untuk mencetuskan letupan tanpa elemen lain yang boleh menyalakan gas tersebut.
"Kalau gas bocor tetapi tiada pencetus api, letupan tidak akan berlaku. Jadi siasatan kami juga tertumpu kepada kemungkinan wujudnya sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan pencetus tersebut," katanya pada sidang media Op Gas Putra Height yang diadakan di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Putra Heights, di sini pada Jumaat.
Tambah Hussein, kawasan letupan dilaporkan masih tidak stabil dan kerja-kerja siasatan penuh belum dapat dilakukan.“Tanah di kawasan kejadian masih lembik dan kawah letupan dipenuhi air akibat hujan," ujarnya.
Setakat ini, kata beliau, pihak Petronas memaklumkan tiada sebarang amaran atau indikasi awal berkaitan kebocoran gas dikesan pada sistem paip bawah tanah yang dibina sejak tahun 1991 dan terletak di lokasi kejadian.
“Sekiranya berlaku kebocoran, sistem kawalan Petronas mempunyai sensor dan sistem pemantauan tekanan yang boleh mengesan penurunan secara automatik. Namun, kita masih menunggu hasil siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Hussein memberitahu, 56 individu telah dirakam keterangan oleh pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran itu.
Menurutnya, antara individu yang dipanggil termasuk seorang pengawal keselamatan yang dikenal pasti sebagai saksi utama kejadian.
“Lelaki itu merupakan individu yang paling hampir berada di lokasi semasa kejadian berlaku dan dipercayai mempunyai maklumat penting yang boleh membantu siasatan,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami