NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: LPHS tawar 100 unit rumah untuk disewa kepada mangsa - Amirudin
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (duduk tengah) semasa sidang media selepas penyerahan kenderaan jenis Chery kepada mangsa kebakaran. - Foto Bernama
SUBANG JAYA: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menawarkan lebih 100 unit rumah untuk disewakan kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights pada Selasa lalu.
Ringkasan AI
- LPHS menawarkan lebih 100 unit rumah sementara kepada mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights melalui skim SMART Sewa Selangor.
- Mangsa boleh ditempatkan di rumah SMART Sewa atau Airbnb dalam satu hingga dua minggu selepas perjanjian dimuktamadkan.
- Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan keseluruhan dan 148 rumah terjejas tetapi boleh didiami selepas pembaikan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri akan cuba membiayai sebahagiannya daripada sumbangan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan.
“Pihak LPHS menawarkan lebih 100 unit rumah kepada mangsa-mangsa dalam bentuk skim SMART Sewa Selangor.
"Kalau semuanya berjalan dengan baik, dalam tempoh seminggu dua lagi kita boleh tempatkan mereka di rumah yang ditawarkan oleh SMART Sewa dan Airbnb,” katanya pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.
Tambahnya, perkara tersebut akan diumumkan selepas perjanjian dimuktamadkan.
“Kita akan umumkan selepas saya memuktamadkan perjanjian dan akan dbawa dalam mesyuarat jawatankuasa
“Supaya kita boleh mengurangkan tekanan kepada penduduk-penduduk yang terpaksa berhimpit di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ini,” katanya.
Setakat semalam, seramai 630 mangsa daripada 157 keluarga tinggal di PPS Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia.
Sementara itu, keluarga dari 85 rumah di Taman Harmoni, Putra Heights telah dibenarkan pulang bermula malam tadi secara berfasa.