[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Kebakaran gas Putra Heights: Ngeri lihat batu berbara api hujani bumbung rumah, sangka sekeluarga mati

Sinar Harian 05/04/2025 | 22:45 MYT
Antara kecederaan melecur di kepala yang dialami Mohd Khairul rentetan kejadian kebakaran gas Putra Heights Selasa lalu. - Foto Sinar Harian
SUBANG JAYA: Seorang peniaga menyangka keseluruhan keluarganya sudah meninggal dunia apabila rumah dan perniagaannya musnah dalam kebakaran besar yang berpunca daripada kejadian letupan paip gas di kawasan Putra Heights pada pagi Selasa lalu.
Mangsa, Mohd Khairul Amin Mohd Rashid, 38, berkata, kejadian tersebut menyebabkan beliau turut kehilangan segala sumber pendapatan yang dibina oleh keluarganya sejak sekian lama, dengan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM2 juta.
Menurutnya, kejadian mengerikan itu berlaku sekitar jam 8 pagi ketika dia dan keluarganya sedang tidur, sebelum mereka merasai gegaran kuat seperti gempa bumi.
“Saya melihat cuaca seperti waktu senja dan obor api yang sangat besar sekitar 50 meter dari rumah.
"Anak-anak berumur 10, 8 dan 3 tahun lari bersama keluarga kakak yang tinggal di rumah berdekatan, sementara abang cuba menyelamatkan ibu yang masih berada di dalam rumah.
“Saya cuba berpatah balik untuk menyelamatkan mereka tetapi tidak berjaya akibat bahang yang teramat kuat sehingga mencecah lebih 1,000 celsius panas.
"Kulit mula mengeluarkan asap dan saya lihat kebanyakan cat kereta di hadapan mengelupas," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mohd Khairul Amin Mohd Rashid. - Foto Sinar Harian
Lebih mengerikan, beliau turut melihat ratusan ketulan batu berbara api menghujani bumbung rumahnya.
"Hujan batu sebesar tapak tangan jatuh ke atas bumbung rumah. Akibat terlalu panas daripada bahang api, saya terpaksa menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam tangki air yang terletak sekitar 30 meter dari rumah.
“Selepas keadaan sedikit reda, saya kembali mencari keluarga yang terpisah dan berjaya menemui mereka di masjid kampung berhampiran.
"Kami bersyukur kerana semua selamat," ujarnya.
Antara kecederaan melecur di tangan yang dialami Mohd Khairul rentetan peristiwa tersebut. - Foto Sinar Harian
Mohd Khairul yang juga penduduk tetap Kampung Sungai Baru berkata, dia bersama keluarganya mengalami kecederaan melecur di tangan dan kepala akibat bahang api sangat panas.
“Saya mengalami kecederaan di tangan dan kepala dengan kesan lecur sekitar 35 peratus. Asap itu menusuk kulit saya sehingga berdenyut ke saraf.
"Isteri saya pula melecur di tapak kaki akibat berlari menyelamatkan diri sehingga cedera dan tidak boleh berjalan.
"Abang saya mengalami kecederaan paling parah di seluruh muka, tangan dan kaki ketika cuba menyelamatkan ibu kami," katanya.
Abang Mohd Khairul, Mohd Radzi (dalam gambar) mengalami cedera parah hampir seluruh muka ketika cuba menyelamatkan ibu mereka yang terperangkap di dalam rumah. - Foto Sinar Harian
Menurut Mohd Khairul, kebakaran tersebut mengakibatkan 18 buah rumah, tiga buah bas, sebuah lori dan 12 motosikal musnah terbakar.
"Kedai makan saya dan khemah perniagaan untuk majlis kahwin juga habis terbakar. Semua sumber pendapatan saya hilang.
“Bantuan yang paling saya harapkan ketika ini adalah tempat tinggal untuk keluarga kerana semua rumah di tempat kami tinggal musnah sepenuhnya akibat peristiwa terbabit,” ujarnya. - Sinar Harian
#Putra Heights #kebakaran gas #Mohd Khairul Amin Mohd Rashid