NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Nilai kerosakan rumah dianggar RM65.4 juta
Nilai kerosakan rumah akibat kebakaran paip gas di Putra Heights dianggar berjumlah RM65.4 juta, melibatkan 437 buah rumah. -Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Nilai kerosakan rumah yang terjejas dalam insiden kebakaran paip gas di Putra Heights dianggar berjumlah RM65.4 juta.
Ringkasan AI
- Nilai kerosakan rumah akibat kebakaran paip gas di Putra Heights dianggar berjumlah RM65.4 juta, melibatkan 437 buah rumah.
- Tindakan pantas oleh pihak bomba dan pasukan keselamatan berjaya menyelamatkan sebanyak RM285.9 juta.
- Sebanyak 151 rumah disahkan selamat dan pemilik dibenarkan pulang, dengan bantuan pembersihan oleh sukarelawan.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, ini berdasarkan penilaian pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhadap kejadian yang telah memusnahkan keseluruhan 437 buah rumah.
"Daripada pengamatan pihak bomba, kita dapati kos kerosakan, kerugian yang terkesan di unit rumah ini adalah sebanyak RM65.4 juta termasuk kos untuk pendawaian elektrik.
"Dengan tindakan pantas oleh pihak bomba dan juga pasukan keselamatan kita serta usaha penduduk, kita dalam menyelamatkan sebanyak RM285.9 juta.
"Penilaian kerosakan infrastruktur awam dan kawasan berdekatan sedang berjalan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini, pada Isnin.
Amirudin memaklumkan, berdasarkan kronologi, laporan polis diterima pada jam 8.10 pagi sebelum bomba tiba di lokasi kejadian jam 8.22 pagi.
“Tindakan penutupan saluran gas pertama pula dilakukan pada 8.46 pagi, disusuli menutup saluran gas kedua 11.46 pagi serta api berjaya dipadamkan keseluruhannya kira-kira pukul 3.45 petang,” ujar beliau.
Beliau menambah, sebanyak 151 rumah disahkan selamat sehingga semalam dan pemilik rumah ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
"Pasukan sukarelawan seperti Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Team Selangor sudah turun ke rumah-rumah ini untuk membantu proses pembersihan dengan kebenaran pemilik rumah agar mereka dapat mula kembali ke kehidupan harian dengan lebih pantas," katanya lagi.