NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Paip gas meletup dikenal pasti, laporan awal seminggu lagi
Datuk Hussein Omar Khan (tengah) di Majlis Perasmian Balai Polis Country Homes di Rawang hari ini.
RAWANG: Paip gas yang meletup di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu sudah dikenal pasti dan pihak berkuasa sedang menunggu hasil kajian forensik untuk melengkapkan siasatan.
Justeru kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, laporan awal mengenai hasil siasatan itu dijangka dikeluarkan dalam tempoh seminggu lagi.
“Siasatan hampir selesai. Paip yang meletup telah dikenal pasti dan kini kajian forensik sedang dijalankan oleh pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.
“Kita jangka laporan awal mengenai hasil siasatan akan dikeluarkan dalam masa seminggu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Country Homes di sini pada Jumaat.
Majlis tersebut dirasmikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, kerja pengorekan tanah di lokasi kejadian kebakaran itu hampir selesai dijalankan.
Pada 1 April lalu, saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya, meletup sebelum terbakar pada jam 8.10 pagi.
Kejadian itu mengakibatkan 219 rumah terjejas, manakala 220 rumah disahkan selamat dan tidak terkesan.
Daripada jumlah itu, 87 rumah mengalami kerosakan teruk, manakala 132 lagi mengalami kerosakan kecil kurang 20 peratus.