NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Peruntukan RM46 juta bantu bina semula kediaman - Nga
Nga bercakap kepada media selepas majlis penyampaian bantuan sewa rumah kepada 70 keluarga yang terlibat dalam insiden tersebut, pada Rabu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SHAH ALAM: Jemaah menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta menerusi pelan pemulihan dan pembangunan komprehensif bagi membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights.
Ringkasan AI
- Jemaah menteri meluluskan RM40 juta menerusi Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara untuk membaik pulih kediaman mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights, dengan kerjasama pihak swasta yang diberi pengecualian cukai atas sumbangan.
- Sime Darby Berhad akan mengendalikan baik pulih di Putra Heights, sementara SPNB menguruskan Kampung Kuala Sungai Baru. Bantuan sewa sebanyak RM6,000 selama tiga bulan telah diberikan kepada 455 keluarga, dengan baki bayaran untuk tiga bulan berikutnya akan diagihkan pada Julai atau Ogos.
- ebanyak 219 rumah mengalami kerosakan, termasuk 81 rumah yang rosak melebihi 40%. Rumah yang rosak lebih daripada 40% akan menerima bantuan hingga RM300,000, manakala rumah yang rosak di bawah 40% mendapat RM150,000, dan kerosakan kecil diberikan RM30,000.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peruntukan menerusi Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara itu bertujuan mengumpul dana bagi membantu mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana.
Dana itu telah mengumpul RM40 juta daripada kerajaan dan akan digunakan untuk kerja-kerja pembaikan dan pemulihan kediaman yang terjejas di Putra Heights.
“Mana-mana syarikat swasta dan GLC yang sudi memberi sumbangan kepada tabung ini akan diberi pengecualian cukai.
“Melalui mekanisme ini, KPKT telah menjalin kerjasama strategik dengan pihak swasta untuk membaik pulih dan membina semula kediaman yang terkesan,” katanya selepas majlis penyampaian bantuan sewa rumah kepada 70 keluarga yang terlibat dalam insiden tersebut, pada Rabu.
Turut diperuntukkan ialah tambahan RM6 juta bagi membaiki kerosakan infrastruktur di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses baik pulih kediaman yang terjejas akan dimulakan minggu ini dan diharap dapat selesai sebelum akhir tahun ini.
Amirudin berkata baik pulih kediaman di Putra Heights akan dikendalikan oleh pemaju Sime Darby Berhad, manakala kediaman di Kampung Kuala Sungai Baru akan dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Syiling maksimum yang digunakan untuk baik pulih kediaman adalah RM300,000 bagi sebuah rumah yang mengalami kerosakan melebihi 40 peratus.
“Bagi rumah yang mengalami kerosakan di bawah 40 peratus, syiling yang diletakkan ialah RM150,000, manakala untuk rumah yang mengalami kerosakan skala kecil, syiling yang diletakkan ialah RM30,000,” ujarnya.
Secara keseluruhannya, kerajaan negeri telah memperuntukkan wang sewaan kepada 455 keluarga dengan bantuan RM6,000 selama tiga bulan.
Baki bayaran sewa untuk tiga bulan seterusnya akan diagihkan pada Julai atau Ogos depan.
Amirudin juga menambah, baki bayaran untuk bulan berikutnya akan dipertimbangkan mengikut keperluan penduduk.
Dalam insiden itu, sejumlah 219 buah rumah mengalami kerosakan, dengan 81 buah mengalami kerosakan melebihi 40 peratus.